
Isu beras campur: dah lama berlaku, bukan salah kerajaan sekarang – Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, amalan mencampurkan beras tempatan dan import bukanlah isu baharu, sebaliknya sudah berlaku sejak tahun 1970-an selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN).
Beliau menjelaskan bahawa perkara itu bukan berpunca daripada dasar kerajaan semasa, sebaliknya merupakan satu amalan yang sudah lama wujud dalam industri.
Menurutnya, dapatan itu diperoleh hasil kajian Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) ke atas industri padi dan beras sejak awal 2024.
MyCC juga merumuskan bahawa campuran beras tempatan dan import dilakukan bagi memenuhi cita rasa pengguna serta menghasilkan variasi jenama di pasaran.
Hasil kajian tersebut telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) pada 17 Disember 2024 dan kerajaan kini sedang mencari mekanisme terbaik untuk mengawal isu ini melalui perundangan.
Mohamad turut mengakui bahawa berdasarkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), tiada peruntukan khusus bagi mendakwa pihak yang mencampurkan beras tempatan dan import.
Justeru, susulan Mesyuarat JKKMN dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Disember 2024, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah diarahkan untuk memperhalusi kaedah kawalan serta merangka simulasi cadangan penetapan harga bagi kategori beras campuran sebelum dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan.
Sebelum ini, kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati kira-kira 40 hingga 50 peratus beras putih import (BPI) daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).
Bagi memastikan keseimbangan dalam industri beras, kerajaan telah mengambil langkah dengan menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa 16 Februari 2025.
Penyelarasan itu mengambil kira kenaikan kos pengeluaran padi termasuk upah, baja, racun serta impak terhadap harga beras di pasaran.
Dalam masa yang sama, kerajaan juga bersetuju mengekalkan harga BPT pada kadar RM2.60 sekilogram dengan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta bagi tempoh enam bulan mulai 1 Mac hingga 31 Ogos 2025.
Langkah itu dijangka memastikan keberadaan bekalan sebanyak 24 juta kampit BPT 10 kilogram di pasaran secara berperingkat bagi membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, mendapatkan bekalan beras pada harga berpatutan dan seterusnya mengurangkan kos sara hidup mereka.
Mohamad turut berkata, kerajaan komited dalam memastikan kestabilan harga dan bekalan beras, selain terus mencari penyelesaian terbaik bagi menjamin keterjaminan makanan negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |