
Dua lelaki Nepal ditahan, disyaki lakukan gangguan seksual
SHAH ALAM – Polis menahan dua lelaki warga Nepal yang disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Subang, Seksyen U16, pada Rabu minggu lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan mengenai insiden itu diterima pada pukul 6.04 petang.
“Mangsa mendakwa seorang lelaki telah memanggilnya sebelum bertindak memasukkan tangan ke dalam seluar serta melakukan isyarat lucah terhadapnya di bawah blok pangsapuri tersebut.
“Wanita itu kemudian bergegas pulang ke rumah, namun dia diekori oleh suspek bersama seorang lagi rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, kedua-dua suspek bertindak agresif dengan memegang pintu grill rumah mangsa sambil memanggilnya keluar.
“Berasa ketakutan, mangsa segera menghubungi abang saudaranya untuk meminta bantuan.
“Kedua-dua suspek akhirnya berjaya ditahan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis,” katanya lagi.
Hasil siasatan mendapati kedua-dua lelaki berusia 38 dan 44 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta tidak bekerja.
“Semakan juga menunjukkan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya lagi.
Menurut beliau, kedua-dua suspek direman selama 14 hari bermula 27 Februari hingga 12 Mac 2025 bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Ayu Asliza Othman di talian 019-399 4871,” katanya lagi.
Terdahulu, tular video berdurasi dua minit 39 saat yang memaparkan orang ramai menahan dua lelaki warga asing yang disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah pangsapuri.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |