
UM lokasi pertama Kembara Ramadan KPT
KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menjadi destinasi pertama dalam siri jelajah Kembara Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Madani ke seluruh negara sepanjang bulan Ramadan ini.
Melalui program itu kelmarin, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir telah menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadan di Musolla Al Jamiah, Akademi Pengajian Islam di universiti tersebut.
Ketibaan Zambry disambut oleh Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman bersama barisan kepimpinan universiti, staf akademik serta para pelajar.

Beliau bersama warga UM menunaikan solat fardu Isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah yang dipimpin oleh imam bertugas, Dr. Imamudin dari Pejabat Dekan Akademi Pengajian Islam, UM.
Majlis turut diserikan dengan sesi tazkirah bertajuk ‘Ramadan: Peluang Perubahan Diri dan Iman’ yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Faisal @ Ahmad Faisal Abdul Hamid.
Pada majlis itu juga, Zambry telah menyaksikan penyampaian cek cura ‘Bantuan Khas Sara Diri Ramadan UM’ bernilai RM500,000 hasil sumbangan zakat daripada syarikat-syarikat korporat.
Bantuan yang disampaikan oleh NC UM kepada wakil pelajar tersebut akan diagihkan kepada 1,000 orang pelajar UM yang terpilih, sebagai sokongan kewangan sepanjang bulan Ramadan.
“Kembara Ramadan KPT Malaysia MADANI ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif turun padang Zambry sejak menerajui KPT tahun lalu.
“Program ini bukan sekadar menzahirkan keprihatinan beliau terhadap kebajikan warga IPT, tetapi turut menjadi platform untuk berinteraksi secara langsung, bertukar pandangan serta menghidupkan malam-malam Ramadan bersama komuniti akademik,” menurut KPT dalam satu kenyataan.
Dengan semangat ukhuwah dan penghayatan Ramadan, program sebegini akan diteruskan ke IPT lain di seluruh negara, membawa keberkatan dan manfaat kepada warga pendidikan tinggi Malaysia.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |