
Tiket tren tambahan ETS sempena Aidilfitri dijual mulai esok – KTMB
KUALA LUMPUR – Tiket perkhidmatan tambahan tren elektrik (ETS) sempena sambutan Aidilfitri akan dijual mulai esok.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan berkata, susulan tiket perkhidmatan tren ETS sedia ada telah habis dijual, pihaknya menambah sebanyak empat lagi laluan tambahan bermula 28 Mac hingga 6 April depan.
Perkhidmatan tambahan itu membabitkan dua perjalanan bagi laluan KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral dan dua perjalanan lagi untuk laluan KL Sentral – Butterworth – KL Sentral.
“Tiket bagi perkhidmatan tren tambahan ini akan mula dijual pada 4 Mac 2025, bermula pukul 10 pagi. Sebanyak 1,260 tempat duduk ditawarkan sehari, termasuk pilihan kelas perniagaan.
“Secara keseluruhan, sebanyak 12,600 tempat duduk disediakan bagi memenuhi permintaan pengguna,” katanya KTMB dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Jadual perjalanan tren tambahan bagi sektor Padang Besar ke KL Sentral adalah tren EP9283 (11.05 pagi hingga 4.30 petang) dan tren EP9286 (5 petang hingga 10.20 malam).
Bagi sektor Butterworth ke KL Sentral pula, tren EP9185 akan bergerak dari Butterworth pada pukul 11.20 pagi hingga 3.25 petang manakala tren EP9186 akan bertolak dari KL Sentral pada pukul 4.45 petang hingga 8.50 malam.
KTMB turut menggalakkan penumpang merancang perjalanan serta membeli tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan dan mengelak kehabisan tiket pada saat akhir.
“Tiket boleh didapati secara tanpa tunai menerusi aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau di mesin kios KTMB,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau melayari platform media sosial rasmi KTMB untuk maklumat terkini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |