
MyBHA bantah kenaikan mendadak fi lesen hotel di Kota Kinabalu
KOTA KINABALU – Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) membantah kenaikan fi lesen yang tinggi terhadap hotel dan rumah lojing di sini, yang disifatkan sebagai tidak munasabah serta mengancam kelangsungan operasi industri perhotelan.
Presiden MyBHA, Dr. Sri Ganesh Michiel berkata, keputusan untuk kembali kepada kadar fi lesen berdasarkan Undang-Undang Kecil (Hotel dan Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu 1966 bakal memberi kesan kewangan yang serius kepada pengusaha hotel.
“Selama beberapa dekad, hotel di Kota Kinabalu hanya dikenakan fi lesen sebanyak RM10 bagi setiap bilik setahun, seperti yang ditetapkan oleh Jemaah Menteri pada 1989.
“Namun, kenaikan baharu ini menetapkan kadar antara RM40 hingga RM140 bagi setiap bilik sebulan, bergantung kepada klasifikasi hotel dan kadar penghunian,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Tribune petang tadi.
Menurutnya, kenaikan drastik itu memberi beban besar kepada pengusaha hotel.
“Sebagai contoh, hotel dengan 100 bilik yang diklasifikasikan sebagai hotel Kelas Kedua kini perlu membayar RM80 setiap bilik yang dihuni sebulan. Jika kadar penghunian mencecah 60 peratus, jumlah fi lesen tahunan boleh meningkat kepada RM57,600 berbanding hanya RM1,000 sebelum ini.
“Kenaikan ini bukan sahaja tidak mampan, malah boleh menyebabkan banyak hotel terpaksa gulung tikar, mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan mengurangkan pilihan penginapan mampu milik untuk pelancong,” katanya.
Dalam pada itu, MyBHA turut melahirkan kebimbangan terhadap ketidakseimbangan penguatkuasaan peraturan antara hotel berlesen dan penginapan sewa jangka pendek (STRA) yang beroperasi secara dalam talian tanpa kawalan.
“Hotel dikenakan pelbagai peraturan ketat termasuk keperluan lesen, pembayaran cukai serta pematuhan terhadap peraturan kesihatan dan keselamatan, manakala pengusaha STRA bebas beroperasi tanpa beban yang sama.
“Ini adalah satu bentuk ketidakadilan yang memberi kelebihan tidak wajar kepada STRA,” katanya.
MyBHA mendakwa pihaknya telah beberapa kali menggesa kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) untuk menangani isu ini, namun tiada tindakan konkrit diambil.
Sehubungan itu, MyBHA menggesa Kerajaan Negeri Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk segera mengembalikan kadar fi lesen RM10 setiap bilik setahun seperti yang ditetapkan sejak 1989.
Seterusnya adalah menggesa penangguhan pelaksanaan kadar fi lesen baharu bagi mengelakkan tekanan kewangan kepada pengusaha hotel.
Katanya, memberikan tempoh bertenang dan mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri sebelum melaksanakan perubahan drastik.
MyBHA turut memberi amaran bahawa kenaikan fi lesen ini boleh menjejaskan daya tarikan Sabah sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan utama.
“Jika isu ini tidak ditangani segera, pelabur mungkin hilang minat untuk melabur dalam pembinaan hotel baharu, sekali gus menjejaskan pertumbuhan industri pelancongan di Sabah,” tegasnya.
Justeru, MyBHA menyeru semua pengusaha hotel, pihak berkepentingan dalam industri pelancongan dan wakil rakyat untuk menyuarakan bantahan terhadap dasar ini bagi memastikan ekosistem perhotelan yang lebih adil dan kompetitif di Kota Kinabalu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |