
MBS terus laksana operasi tanggal pintu rumah penyewa PPRT culas jelaskan bayaran
SEREMBAN – Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan terus melaksanakan operasi menanggalkan pintu rumah penyewa Rumah Pangsa Kos Rendah (PPRT) yang didapati mempunyai amaun tertunggak.
Terbaharu, sebanyak enam pintu rumah penyewa di PPRT Lobak di sini ditanggalkan selepas mereka gagal menjelaskan tunggakan sewa sehingga RM34,000.

Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali dalam satu kenyataan berkata, operasi pada 27 Februari itu melibatkan Ahli Majlis MBS, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBS dan Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS.
“Operasi kali ini tertumpu kepada enam penyewa yang mempunyai tunggakan tertinggi iaitu di antara RM17,000 hingga RM34,000.
“Notis penamatan perjanjian penyewa terlibat telah tamat pada 31 Januari lalu dan tempoh pengosongan rumah juga telah berakhir pada 26 Februari.
“Setelah tamat tempoh dan peluang yang diberikan, MBS telah mengambil tindakan menanggalkan semua pintu di rumah terlibat sebagai pengajaran supaya mereka segera menjelaskan tunggakan,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Jelasnya, unit di situ disewakan MBS selaku pemilik kepada penyewa pada harga RM150 sebulan.
Namun, katanya, masih terdapat ramai penyewa mengambil sikap sambil lewa untuk menjelaskan tunggakan sewa.
“MBS sentiasa memberi peluang dan membantu penyewa dengan menyediakan pelbagai kaedah supaya penyewa dapat menjelaskan tunggakan sewa dengan kadar sewa RM150 sebulan.
“Pihak kami akan meneruskan operasi ini secara berkala dari semasa ke semasa. Penyewa di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paroi dan PPRT Lobak juga diminta menjelaskan bayaran sewaan mengikut masa yang telah ditetapkan,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |