Berita Semasa

KPDN, Jakim lihat keperluan tingkatkan hukuman kesalahan salah guna logo halal

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menyemak keperluan untuk meningkatkan hukuman kesalahan berkaitan penyalahgunaan logo halal.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berakata, pelbagai pihak menyarakan supaya hukuman itu ditingkatkan memandangkan isu logo halal merupakan perkara yang amat sensitif bagi masyarakat Islam.

“Kita sedang mempertimbang supaya tindakan diambil kepada pihak yang membuat kesilapan untuk tidak menyemak (pengesahan logo halal) kerana kebertanggungjawaban itu juga perlu di pelbagai peringkat.

“Perkara itu kita sedang bincangkan bersama dengan Jakim supaya tidak ada pihak yang lepas tangan dalam membuat semakan terhadap produk yang dibawa, yang mempunyai logo halal untuk memastikan logo itu benar-benar sah dan diperakui Jakim,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPDN di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebagai rekod, di bawah peraturan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, sesebuah syarikat yang didapati menyalahgunakan logo halal boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta, manakala untuk individu, denda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun.

Berdasarkan Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, penalti bagi pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan menyalah guna logo halal akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 dan tidak lebih RM500,000 bagi kesalahan berikutnya.

Jelas Armizan, KPDN bertanggungjawab dalam aspek penguatkuasaan dan pihaknya sentiasa melaksanakan kerjasama dengan Jakim untuk membuat hebahan umum, pemeriksaan halal, operasi khas serta pemantauan platform e-dagang.

Katanya, Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) bertanggungjawab memastikan setiap permohonan cap dagang diterima dan diteliti sewajarnya bagi memastikan tiada penyalahgunaan nama, istilah perkataan, label dan elemen yang boleh dikaitkan dengan Islam.

Jelasnya, ia termasuk logo kubah masjid, Kaabah, bulan sabit, bintang, simbol atau tulisan yang boleh dikaitkan dengan Islam, termasuk ayat suci Al-Quran pada produk dan perkhidmatan yang diniagakan peniaga bukan Islam jika digunakan bagi tujuan memperdaya dan mengelirukan pengguna Islam.

“Kita akan sentiasa membuat penguatkuasaan namun apa yang penting, kebertanggungjawapan di seluruh peringkat.

“Kita juga mengharapkan pasar raya memainkan peranan dengan menyemak sumber bekalan produk yang dimasukkan di semua peringkat, sama ada pemborong dan peruncit perlu menyemak portal Halal Malaysia yang dikendalikan Jakim untuk membuat semakan barangan status halal yang diguna pakai oleh mana-mana premis sekali pun,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button