
KKM perkenal WhatsApp Aduan Kebersihan di bazar Ramadan
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan inisiatif baharu WhatsApp Aduan Kebersihan Premis Makanan sebagai platform khusus bagi orang awam menyalurkan aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan di bazar Ramadan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, platform itu diperkenalkan bagi memastikan keselamatan makanan menjadi tanggungjawab bersama dan membolehkan aduan disampaikan secara langsung kepada pihak berkuasa.
“WhatsApp Aduan Kebersihan Premis Makanan ini melengkapkan ekosistem sedia ada dengan menambah satu lagi saluran aduan.
“Ia melengkapi platform lain seperti Sistem Pengurusan Aduan (SISPA), Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), e-mel rasmi serta aduan terus ke Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Kick Off Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Peringkat Kebangsaan 2025 di Tapak Bazar Ramadan Presint 3, di sini, hari ini.
Menurut Dzulkefly, orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan kebersihan makanan menerusi talian 012-8484378 yang beroperasi sepanjang bulan Ramadan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa KKM turut memberi penekanan terhadap aspek latihan dan pemeriksaan ke atas pengendali makanan bagi memastikan tahap kebersihan terjamin.
“KKM memastikan setiap pengendali makanan telah menjalani Latihan Pengendalian Makanan (LPM) dan menerima suntikan typhoid sebelum mengendalikan makanan.
“Pemeriksaan berkala juga akan dilakukan bagi memastikan mereka mematuhi syarat ditetapkan,” katanya lagi.
Dzulkefly berharap inisiatif itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kebersihan makanan, khususnya di bazar Ramadan, sekali gus mengurangkan risiko keracunan makanan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |