
KKM masih perlukan 43,243 jururawat – Lukanisman
KUALA LUMPUR – Jumlah jururawat seramai 70,229 di seluruh negara masih tidak mencukupi buat masa ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) masih memerlukan kira-kira 43,243 jururawat lagi supaya penyampaian perkhidmatan kesihatan berjalan dengan lebih lancar.
“Secara keseluruhannya, pengisian jururawat di KKM telah mencapai 88 peratus berbanding 79,814 perjawatan jururawat di KKM. Berdasarkan unjuran, kita memerlukan lebih kurang 43,243 jururawat.
“Masih tidak cukup sebab berdepan cabaran pembukaan hospital-hospital baharu,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung jumlah jururawat yang diperlukan di semua fasiliti kesihatan lama dan baharu.
Jelas Lukanisman, buat masa ini, seramai 70,229 jururawat yang sedang bertugas di fasiliti KKM adalah terdiri daripada 69,114 anggota lantikan tetap dan 821 lantikan kontrak interim.
Bagi meningkatkan angka jururawat, Lukanisman berkata, KKM telah melaksanakan beberapa inisiatif, antaranya menambah pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan di Institut Latihan KKM daripada1,000 kepada 2,000 pelatih.
Menurut beliau, penawaran kepada Jururawat Masyarakat ke Program Peningkatan Secara Lantikan (PSL) juga ditingkatkan daripada 800 kepada 1,000 orang setahun.
Mengenai moratorium program Diploma Kejururawatan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah ditamatkan pada 1 Ogos 2024, Lukanisman berkata tujuh kolej sudah memohon untuk melaksanakan program baharu Diploma Kejururawatan.
Tambahnya, syarat kemasukan ke program Diploma Kejururawatan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah dilonggarkan kepada hanya tiga kredit iaitu Bahasa Melayu, Matematik atau Matematik Tambahan.
“Kredit salah satu mata pelajaran Sains (Biologi, Kimia, Fizik, Sains Gunaan), Bahasa Inggeris dan mendapat kepujian mana-mana satu pelajaran lain untuk mengikuti program ini,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |