
King Sing nafi turun pangkat Ammar kerana tidak mahu iktiraf Kampung Cina
KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menafikan dakwaan penurunan pangkat bekas Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan (Tourism Malaysia), Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar dibuat kerana keengganannya mengiktiraf kampung Cina.
Selain itu, King Sing turut menolak dakwaan bahawa tindakan itu juga berkait dengan tindakan Ammar yang tidak bersetuju program inap desa dihapuskan selain menolak keistimewaan diberikan kepada pelancong China.
“Pertama, isu pengiktirafan Kampung Baru Cina tidak ada kaitan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Ia tidak berada di bawah bidang kuasa MOTAC dan tidak pernah dibangkitkan dalam kementerian.

“Kedua, khabar angin mengenai penghapusan sistem inap desa juga satu dakwaan mengarut. Kementerian baru sahaja mengemukakan dasar berkaitan untuk kelulusan minggu lalu. Malah, MOTAC kini giat mempromosikan serta membangunkan program inap desa,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Ketiga, dalam isu dakwaan bahawa pelancong China menerima layanan istimewa atau keutamaan khas, King Sing memberitahu, ia juga satu tuduhan tidak berasas.
“Malaysia mengalu-alukan pelancong dari seluruh dunia dan promosi pelancongan dijalankan secara aktif di pelbagai rantau seperti China, ASEAN, Eropah dan Timur Tengah.
“Bagaimanapun, usaha promosi di China memerlukan lebih banyak masa kerana jumlah penduduknya yang besar, tetapi ini tidak bermakna promosi di negara lain diabaikan,” kata beliau.
King Sing menjawab enam tuduhan yang disebarkan di media sosial berikutan tindakan yang diambil terhadap Ammar.
Keempat, beliau juga menolak dakwaan bahawa subsidi geran pelancongan hanya diberikan kepada syarikat milik kaum Cina.
Menurutnya, semua dasar subsidi oleh MOTAC dilaksanakan secara adil tanpa mengira latar belakang kaum pemilik perniagaan.
“Mana-mana syarikat yang layak boleh memohon dan tidak wujud dasar yang memperuntukkan subsidi berdasarkan kaum,” katanya.
Kelima, berkaitan tuduhan beliau mengarahkan Ammar menghidangkan daging khinzir dalam satu majlis di Laos pula, King Sing menyifatkan ia adalah mengarut.
“Apa yang dipanggil ‘Insiden Laos’ itu adalah rekaan sepenuhnya dan tidak mempunyai asas fakta. Kami tidak akan melayan dakwaan palsu tersebut,” katanya lagi.
Keenam, beliau juga menjelaskan bahawa sepanjang tempoh perkhidmatannya, Ammar tidak pernah membangkitkan perbincangan mengenai hotel patuh Syariah atau mesra Muslim.
“Oleh itu, bagaimana boleh timbul isu mengenai ‘minat’ atau ‘kekurangan’ beliau terhadap perkara tersebut. Pusat Pelancongan Islam (ITC) akan menerima pengarah baharu yang akan segera memacu pembangunan produk pelancongan mesra Muslim – bidang yang tidak pernah ditangani Ammar semasa memegang jawatan,” katanya lagi.
Justeru, King Sing menegaskan, keputusan menurunkan pangkat Ammar kepada Timbalan Ketua Pengarah adalah disebabkan prestasi beliau yang tidak memuaskan.
“Sepanjang tempoh beliau sebagai Pemangku Ketua Pengarah, beliau gagal mencapai standard prestasi yang ditetapkan. Beliau juga tidak mempunyai pemahaman jelas mengenai tanggungjawabnya dan tidak menunjukkan inisiatif dalam memacu hala tuju kementerian.
“Jika seseorang pegawai gagal memenuhi penanda aras sepanjang tempoh percubaan, maka pelarasan terhadap peranan mereka adalah sebahagian daripada prosedur pentadbiran yang biasa,” jelasnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |