Berita Semasa

JDT tekad buru kemenangan ke atas Buriram United

BURIRAM – Johor Darul Ta’zim (JDT) sedia berdepan cabaran getir bertemu Buriram United dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Buriram, malam esok.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio optimis pasukan Harimau Selatan itu mampu membawa pulang keputusan positif sebagai bekalan sebelum aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Mac nanti.

Menurutnya, persiapan rapi telah dilakukan bagi memastikan pasukan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi skuad Thunder Castle yang dijangka memberi tentangan sengit.

“Misi kita jelas, kemenangan amat penting untuk JDT bagi melayakkan diri ke pusingan suku akhir ACLE.

“Kunci kejayaan adalah mengawal permainan dan sentiasa berada dalam kawasan lawan sepanjang 90 minit. Itu akan memberi tekanan kepada mereka dan membuka peluang untuk melancarkan serangan ke gawang lawan.

“Pemain perlu berdisiplin bagi memastikan taktikal ini berjaya serta bermain dengan kompak supaya tidak memberi ruang kepada Buriram melakukan serangan balas pantas,” katanya memetik Kosmo online hari ini.

JDT sebelum itu pernah berdepan Buriram United dalam saingan kumpulan Zon Timur ACLE pada Disember lalu, namun perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu turut dicemari insiden kekasaran yang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan sepanjang 90 minit perlawanan.

Menghadapi pertemuan kali ini, JDT hadir dengan barisan pemain berbeza susulan kehadiran beberapa pemain import baharu, termasuk Jonathan Viera, Alvaro Gonzalez, Anselmo Moraes dan yang terbaharu Samu Castillejo.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button