
JAS perkenal seragam baharu, sistem MyEQMS, perkukuh penguatkuasaan alam sekitar
PUTRAJAYA– Jabatan Alam Sekitar (JAS) memperkenalkan pakaian seragam baharu bagi pegawai penguat kuasa mulai Mac ini, sebagai usaha memperkasakan imej dan keberkesanan dalam melindungi alam sekitar.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, seragam baharu ini melambangkan ketegasan dan profesionalisme JAS serta membantu pengenalan pegawai di lapangan.
“Pemakaian pakaian seragam baharu ini bukan sekadar perubahan kosmetik, tetapi satu simbol ketegasan dan profesionalisme JAS dalam melindungi alam sekitar.
“Ia juga akan membantu meningkatkan pengenalan pegawai penguatkuasa JAS di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemakaian pakaian seragam ini telah mendapat kelulusan daripada Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri (BIUPA).
Selain penjenamaan semula imej penguatkuasaan, JAS turut memperkukuh strategi perlindungan alam sekitar, termasuk memuktamadkan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 Fasa 2, meningkatkan kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan menambah baik pengurusan e-waste melalui Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan (ATOP).
JAS juga memperluas kerjasama antarabangsa dengan Sekretariat Konvensyen Basel, Asian Network dan Interpol, serta menjalankan latihan bersama PDRM dalam bidang risikan.
Selain itu, JAS bekerjasama dengan SIRIM bagimemperketatkan proses kelulusan Certificate of Approval (COA).
Sementara itu, tindakan tegas turut diambil terhadap kilang haram yang mencemarkan alam sekitar dengan kerjasama pelbagai agensi seperti PDRM, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSP) dan lain-lain.
“Kami ingin menegaskan bahawa JAS tidak akan berkompromi dalam menangani pencemaran. Pihak industri yang gagal mematuhi peraturan akan dikenakan tindakan tegas.
“Kami juga mengingatkan pihak industri supaya mematuhi pindaan AKAS 1974 yang berkuat kuasa 7 Julai 2024, di mana kadar denda meningkat kepada RM5,000 hingga RM10 juta,” katanya.
“Hukuman penjara mandatori lima tahun, dan kompaun maksimum akan dinaikkan kepada 50% daripada denda maksimum,” tambahnya.
Dalam pada itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad juga pada hari ini telah melancarkan system MyEQMS yang merupakan platform digital yang akan memberi manfaat besar kepada orang awam.

“Sistem ini membolehkan rakyat mendapatkan maklumat terkini berhubung kualiti alam sekitar termasuk status pencemaran udara, sungai dan laut,” katanya.
Dengan pelbagai inisiatif ini, JAS yakin dapat memperkukuh penguatkuasaan dan memastikan kesejahteraan alam sekitar untuk generasi akan datang.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |