Luar Negara

Eropah perkukuh sokongan kepada Ukraine, Perancis-UK pertimbang hantar tentera

LONDON – Pemimpin Eropah menegaskan komitmen mereka untuk terus menyokong Ukraine dalam sidang kemuncak di London semalam dengan ikrar meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan membentuk pakatan bagi menyokong usaha damai di negara itu.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam satu temu bual dengan media Perancis berkata, pihaknya bersama Britain sedang mempertimbangkan cadangan gencatan senjata separa selama sebulan sebagai sebahagian daripada usaha menghentikan peperangan di Ukraine.

Cadangan itu dikemukakan selepas perbincangan selama dua hari yang menghimpunkan 18 pemimpin Eropah, susulan ketegangan yang tercetus antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dalam satu sidang media di Rumah Putih baru-baru ini.

Sidang kemuncak di London berlangsung ketika Ukraine berdepan ketidaktentuan sokongan daripada AS serta terus tertekan dalam perang tiga tahun menentang Rusia.

Situasi itu diburukkan lagi dengan pertelagahan antara Trump dan Zelensky yang menimbulkan persoalan baharu mengenai komitmen AS terhadap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer berkata, Britain, Perancis dan beberapa negara lain akan bekerjasama dengan Ukraine dalam merangka pelan damai yang kemudiannya akan dibentangkan kepada Washington.

“Ini bukan masanya untuk lebih banyak perbincangan. Ini masa untuk bertindak. Masa untuk bangkit, memimpin dan bersatu di sekeliling pelan baharu bagi mencapai keamanan yang adil dan berkekalan.

“Tanpa jaminan pembabitan AS, Eropah mesti memikul tanggungjawab utama,” katanya memetik laporan BH online.

Menurut Starmer, beberapa negara telah menyatakan kesediaan untuk menyokong cadangan gencatan senjata, namun beliau tidak menyebut secara khusus negara yang terlibat.

Beliau dan Macron turut menyatakan kesediaan untuk menghantar tentera masing-masing ke Ukraine bagi membantu mengekalkan usaha damai di negara itu.

Sementara itu, Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen memberi amaran bahawa benua itu perlu segera memperkukuh aspek pertahanan bagi menghadapi sebarang kemungkinan buruk.

Perdana Menteri Poland, Donald Tusk pula menggesa AS dan Eropah untuk tidak tunduk kepada ugutan serta pencerobohan Rusia.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni yang kerajaannya dianggotai ahli politik pro-Moscow, dilihat berkemungkinan tidak akan menghantar tentera ke Ukraine.

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte berkata, lebih banyak negara Eropah kini berjanji untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan, manakala Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban menyuarakan kebimbangan terhadap pemimpin Eropah yang kebanyakannya menyokong Ukraine, kerana dianggap lebih memilih peperangan daripada mencari jalan damai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button