Berita Semasa

Operasi Gasak: DBKL kompaun 6 gerai, tunda 2 foodtruck

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan kompaun terhadap enam gerai dan menyita barangan milik penjaja warga asing di sekitar Bazaria Wangsa Maju, semalam.

DBKL dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya berkata, Operasi Gasak yang dilaksanakan itu turut menutup serta-merta enam gerai dan menunda dua trak makanan.

“Hasil operasi yang dijalankan di Bazaria Wangsa Maju, sejumlah 6 buah gerai dan penjaja tanpa lesen telah dikenakan tindakan kompaun, 12 tindakan sitaan penjaja warga asing, 5 buah gerai ditutup serta merta serta 2 kes penundaan ‘food truck’ yang dikendalikan oleh warga asing,” katanya.

Operasi Gasak membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) WPKL serta jabatan dalaman DBKL.

Dalam operasi sama, seramai 35 warga asing ditahan pihak Imigresen, terdiri daripada seorang lelaki warga Myanmar, 19 lelaki warga Indonesia dan 15 wanita warga Indonesia atas kesalahan tidak memiliki dokumen sah atau menyalahgunakan permit kerja.

Selain itu, KPDN mengeluarkan tiga kompaun terhadap gerai yang melanggar peraturan perdagangan, termasuk berkaitan hak cipta dan penjualan barangan tiruan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

DBKL menegaskan operasi itu akan diteruskan secara berkala bagi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar raya yang bersih, teratur dan selamat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button