Berita SemasaDalam Negeri

MCMC, SC komited usaha perangi penipuan dalam talian

KUALA LUMPUR – Kemajuan teknologi menyaksikan peningkatan mendadak kes penipuan dan aktiviti tidak berlesen di platform digital, sekaligus memerlukan tindakan lebih tegas.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan bersama memaklumkan usaha bersama bagi membanteras ancaman penipuan dalam talian yang kini semakin membimbangkan sedang dilakukan.

Menurut kenyataan itu, pada tahun 2024, SC telah menerima sebanyak 4,859 aduan serta pertanyaan awam berkaitan pelbagai kes penipuan dan aktiviti tidak berlesen.

“Dengan bantuan MCMC, sebanyak 66,507 kandungan yang berkaitan penipuan telah berjaya dipadamkan daripada platform dalam talian sepanjang tahun tersebut.

“Bagi tahun 2025, dari 1 Januari hingga 26 Februari, sejumlah 19,200 kandungan penipuan turut berjaya dibuang,” katanya.

Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, pihaknya akan terus memperkukuh keselamatan dalam talian dengan pendekatan menyeluruh yang melibatkan pengawalseliaan berimpak tinggi, kerjasama antara agensi, serta kempen kesedaran awam.

Kerjasama dengan SC akan memperkukuh perkongsian maklumat, pembangunan dasar strategik dan usaha pencegahan penipuan dalam talian.

Antara bidang kerjasama utama yang bakal dijalankan termasuk memperkukuh penguatkuasaan dan pencegahan penipuan dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI).

SC dan MCMC juga akan bekerjasama lebih rapat dengan penyedia perkhidmatan serta pihak berkepentingan bagi mempercepatkan pengesanan penipuan dan memastikan kandungan yang melanggar undang-undang dikeluarkan dengan segera.

Selain itu, kedua-dua badan kawal selia ini juga akan meneroka kerjasama dalam pelbagai program pendidikan untuk orang ramai dan pelabur, mengenai ancaman penipuan dalam talian, termasuk melalui Kempen Keselamatan Dalam Talian yang dilancarkan baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, taktik dan modus operandi penipuan sentiasa berubah.

Oleh itu, kerjasama erat dengan MCMC adalah penting untuk memastikan penyelarasan sumber serta langkah yang lebih berkesan dalam mengesan dan mencegah jenayah ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button