Berita Semasa

KPDN laksana Ops Pantau 2025 sempena Ramadan, Hari Raya Aidilfitri

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memulakan pemantauan melalui Ops Pantau 2025 terhadap peniaga mulai hari ini hingga Hari Raya Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Ops Pantau 2025 dilaksanakan secara seragam dan berfokus di seluruh negara dengan lokasi tumpuan di bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit.

Beliau berkata, pemeriksaan di bawah Ops Pantau 2025 memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan dan harga barang dan jualan murah.

“Fokus penguatkuasaan Ops Pantau 2025 adalah bagi bekalan barang yang menjadi tumpuan rakyat seperti gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, beras, barang basah dan bahan untuk membuat kuih-muih

“Selain itu, fokus turut bagi barangan basah, barangan untuk membuat kuih muih dan barang-barang bermasak yang dijual di bazar-bazar Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Armizan membuat tinjauan di Pasar raya Giant Seri Kembangan, Selangor dan pelaksanaan Program Jualan Rahmad Madani (PJRM) bertempat di Pangsapuri Permai, Kuala Lumpur dan Pasar raya Lotus’s Kajang, Selangor.

Beliau berkata, tinjauan tersebut adalah bagi melihat isu-isu semasa berkait bekalan beberapa jenis barangan di pasaran, selain melihat operasi PJRM di akar umbi.

“Saya telah mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa KPDN supaya pemantauan lebih kerap dan bersasar dibuat di premis-premis runcit seluruh negara dalam bulan Ramadan dan menjelangnya bulan Syawal,” katanya.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, fokus penguatkuasaan turut dilaksanakan bagi premis perniagaan yang mengadakan jualan murah supaya peniaga-peniaga mengikut perundangan yang berkuat kuasa dan tiada manipulasi harga dilakukan.

“Langkah ini bagi memastikan peniaga tidak menjual melebihi harga yang ditetapkan Kerajaan bagi barang-barang tertentu di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 yang akan diumumkan kelak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN akan mempertingkatkan keberadaan anggota-anggota penguat kuasa di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pengguna termasuklah melalui penggunaan Van Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna (STAR), kereta peronda dan Unit Ronda Bermotosikal.

“KPDN juga akan mengoptimumkan pengoperasian Pusat Arahan Penguat Kuasa KPDN yang beroperasi setiap hari mulai 8 pagi sehingga 8 malam bagi memastikan tindakan susulan segera diambil terhadap sebarang aduan, maklumat dan pertanyaan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Armizan turut mengingatkan kepada semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan berkaitan dan memberikan komitmen terhadap gerakan Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button