
Kebakaran hutan landa Jepun: Ribuan penduduk terjejas diarah berpindah
OFUNATO – Kebakaran hutan di wilayah utara Jepun, Iwate telah memaksa lebih daripada seribu orang untuk berpindah dan mengorbankan sekurang-kurangnya satu nyawa.
Menurut jurucakap Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana kepada AFP, sekitar 2,500 anggota bomba dari seluruh negara bertungkus-lumus memadamkan api sejak semalam yang turut dibantu oleh 17 helikopter.
Katanya, api dilaporkan telah merebak di kawasan seluas kira-kira 1,400 hektar (3,000 ekar) di hutan Ofunato, kawasan terbesar yang terbakar sejak kebakaran hutan pada 1992 di Kushiro, Hokkaido.
Pihak berkuasa di perbandaran Ofunato, yang terletak kira-kira 500 km dari ibu kota, Tokyo, dilaporkan telah meminta sekitar 4,600 orang untuk mencari tempat perlindungan yang lebih selamat sejak kebakaran tercetus pada Rabu lalu.
“Setakat Jumaat lalu, lebih daripada 1,000 penduduk di kawasan berdekatan telah dipindahkan dan lebih daripada 80 bangunan rosak, kata pihak perbandaran,” katanya.
Sementara itu, kebakaran ini turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada lebih daripada 700 rumah tangga di Ofunato dan kampung berdekatan, Sanriku.
Akibatnya, perkhidmatan kereta api yang menghubungkan kedua-dua kawasan tersebut terpaksa digantung sepanjang hari.
Ofunato kini mengalami kemarau yang luar biasa, dengan hanya 2.5 milimeter hujan jatuh sepanjang bulan ini, dengan rekod paras hujan terendah untuk bulan Februari ialah 4.4 milimeter pada tahun 1967.
Dua kebakaran lain turut berlaku pada hari Sabtu, satu di Yamanashi dan satu lagi di tempat lain di Iwate.
Tahun lalu, merupakan tahun paling panas di Jepun, sama seperti di banyak negara lain kerana perubahan iklim yang didorong oleh pelepasan gas rumah kaca daripada aktiviti manusia yang terus menyebabkan suhu meningkat di seluruh dunia.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |