
Jongkong emas tulin 16 kg ditemui dalam penahanan 4 pegawai kanan Ismail Sabri
PUTRAJAYA – Pengeledahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tiga premis yang dikaitkan dengan empat pegawai kanan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini turut menemukan 16 kilogram jongkong emas tulin dianggarkan bernilai kira-kira RM7 juta.
Dalam pemeriksaan di kediaman yang dipercayai sebagai ‘safehouse’ itu, SPRM turut menyita wang berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa iaitunya Baht, Riyal, Pound Sterling (BP), Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan.
Maklumat itu dikongsikan SPRM dalam satu kenyataan media pada petang ini yang memaklumkan pihaknya telah memulakan siasatan terhadap Ismail Sabri berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Menurut kenyataan itu, siasatan akan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bera itu juga diarahkan membuat pengisytiharan harta semula di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM telah mengenal pasti hampir 10 saksi yang akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.
Suruhanjaya ini ingin menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara bebas, profesional, dan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.
SPRM komited untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |