AgamaBerita Semasa

Jangan sinis pada yang ke masjid awal Ramadan – Dr Mohd Asri

 

KANGAR – Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak bersikap sinis sesama sendiri terhadap amalan menunaikan solat di masjid pada awal Ramadan.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, amalan itu merupakan tanda penghormatan umat Islam yang meraikan kehadiran bulan paling mulia dan merebut peluang untuk beribadah.

Sebaliknya kata beliau, umat Islam perlu lebih risau sekiranya kemeriahan dan penghormatan seperti itu tidak lagi wujud dan dirasakan dalam masyarakat, yang menunjukkan rasa tidak peduli.

“Kemeriahan masjid pada awal Ramadan ini adalah petanda bahawa umat Islam mengagungkan syiar Allah. Al-Quran sendiri menyebut bahawa ini merupakan tanda hati yang bertakwa,” jelasnya.

“Sekiranya umat Islam tidak mempedulikan kehadiran Ramadan di masjid dan keadaan masjid tetap seperti biasa tanpa pertambahan jemaah, itu adalah satu bentuk kebiadapan terhadap Allah dan Rasul-Nya.

“Jadi jangan sesekali memandang sinis apabila melihat ramai umat Islam hadir ke masjid pada awal Ramadan. Jangan kata, ‘itu semangat awal sahaja’ atau ‘Ramadan baru nak nampak muka di masjid,'” tegasnya.

Dr Mohd Asri berkata, keterujaan umat Islam untuk pergi mengerjakan ibadah di masjid apabila masuk bulan Ramadan adalah tanda mereka yakin kepada janji Allah dan mahu memperoleh keberkatan dariNya.

“Biarpun ada yang mungkin tidak dapat istiqamah sepanjang Ramadan, itu adalah kelemahan yang berlaku kemudian.
Namun, ia tidak seharusnya menjejaskan sambutan awal yang penuh meriah ini,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan, tanggungjawab kita sebagai umat Islam adalah untuk saling mengajak diri dan orang lain beristiqamah sepanjang bulan Ramadan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button