
Bazar Ramadan: Pembeli puas hati, harga juadah masih berpatutan
PUTRAJAYA – Walaupun baru memasuki hari pertama puasa, orang ramai sudah mula membanjiri Bazar Ramadan Presint 3 di sini, dan rata-rata mereka kelihatan berpuas hati dengan harga makanan yang ditawarkan.
Berdasarkan tinjauan Malaysia Tribune, pembeli mengamalkan corak berbelanja bersederhana dengan memilih untuk membeli juadah yang tidak hanya enak tetapi juga berpatutan.

Menurut salah seorang pengunjung, Nurul Solehah Ahmad Sauki, 19, harga makanan yang ditawarkan masih berpatutan dan sesuai dengan bajet orang ramai, meskipun ada dalam kalangan peniaga menaikkan harga makanan.
“Harga makanan masih berpatutan walaupun saya rasa ada peningkatan sedikit berbanding sebelum-sebelum ini,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Sementara itu, bagi seorang lagi pembeli, Nurul Syaidatul Kamaruzzaman, 24, menyifatkan harga makanan yang dijual haruslah selari dengan rasa makanan tersebut.
“Kalau harga makanan itu murah sekalipun, tapi rasanya tidak sedap, saya tidak boleh terima itu, jadi yang penting harga makanan harus berpatutan dan rasanya perlu sedap,” katanya.
Bagi seorang peniaga di bazar tersebut, Muhd Nur Salam, 22, mengakui terdapat kenaikan harga barang mentah, namun masih mampu meraih untung daripada hasil jualan nasi ayam penyetnya.
Ditanya adakah kenaikan harga barang memberi kesan terhadap perniagaannya, dia menjelaskan bahawa dirinya masih mampu untuk menjual juadah pada harga yang berpatutan bagi memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Walaupun harga barang naik, saya tidak naikkan harga makanan dan masih mengekalkan harga seperti tahun lalu agar pembeli pun puas hati,” katanya.
Muhd Nur berkata jualan pada hari pertama puasa juga amat memberangsangkan, di mana semua makanan yang dijual habis sebelum masuk waktu berbuka.
“Saya harap keadaan ini akan berterusan untuk hari-hari seterusnya,” ujarnya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |