Luar Negara

Sesi pertemuan Trump, Zelensky bertukar kecoh

WASHINGTON – Sesi pertemuan di antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Naib Presiden AS, JD Vance dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, di Pejabat Oval, Rumah Putih semalam, bertukar menjadi perbalahan sengit.

Pada mulanya, semua kelihatan berjalan lancar, namun perbualan antara Trump dan Zelensky tiba-tiba bertukar menjadi tegang dalam sekelip mata.

Zelensky, bekas pelawak yang hadir ke Rumah Putih untuk menandatangani perjanjian mengenai mineral nadir bumi serta mengekalkan hubungan baik dengan Trump, kekal tenang ketika mereka duduk bersebelahan dan menjawab soalan media.

Namun, keadaan tiba-tiba berubah.

Apa yang berlaku selepas itu mungkin antara detik paling luar biasa pernah disaksikan di Pejabat Oval, pusat bersejarah presiden AS yang sering menjadi lokasi pertemuan pemimpin asing.

Vance menjadi pencetus kekecohan itu, apabila memainkan peranannya yang semakin agresif sebagai ‘penyerang’ bagi pihak Trump, dengan menuduh Zelensky tidak ‘berterima kasih’ terhadap sokongan AS ketika pemimpin Ukraine itu mempersoalkan gesaan Trump supaya berunding dengan Moscow.

“Saya rasa tidak wajar bagi anda datang ke Pejabat Oval dan mempertikaikan perkara ini di hadapan media AS,” kata Vance, yang duduk di sofa berhampiran kedua-dua pemimpin.

Apabila bahang perdebatan meningkat, Zelensky menyilangkan tangan dan bertanya sama ada Vance pernah mengunjungi Ukraine, mencetuskan maklum balas marah daripada naib presiden yang menuduhnya mengadakan ‘lawatan propaganda’.

Malah, keadaan menjadi lebih buruk apabila Trump turut campur tangan dengan retoriknnya sendiri bagi menyerang Zelensky.

“Jangan beritahu kami apa yang akan kami rasakan,” kata Trump dengan meninggikan nada suara, sekali gus menyebabkan pertelingkahan semakin hangat.

“Anda mempertaruhkan nyawa jutaan orang. Anda mempertaruhkan Perang Dunia Ketiga, dan apa yang anda lakukan ini sangat tidak menghormati negara ini,” kata Trump.

Dengan wajah merah padam, Trump mengacukan jarinya ke arah Zelensky sambil meninggikan suara. Pada satu ketika, dia menepuk lengan Zelensky bagi menegaskan pendiriannya.

Bagi Zelensky, pertemuan itu berubah menjadi satu perangkap apabila Trump terus membidasnya, sementara pemimpin Ukraine itu berusaha menyampaikan hujahnya.

Sepanjang pertelingkahan selama hampir lima minit itu, wartawan sibuk merakam dan menaip laporan, sementara seorang diplomat Ukraine hanya mampu menekup wajahnya dengan tangan.

“Anda sama ada mencapai perjanjian, atau kami berundur,” kata Trump, menegaskan bahawa perpecahan itu amat nyata.

Tidak lama selepas itu, Trump menamatkan sesi, mengarahkan wartawan keluar dan disusuli sejam kemudian oleh Zelensky meninggalkan Rumah Putih secara tergesa-gesa, manakala majlis menandatangani perjanjian mineral nadir bumi dibatalkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button