
Oleh DATUK MUHAMMAD FUAD KAMALUDIN
IBADAH puasa pada bulan Ramadan merupakan kewajipan yang difardukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.
Selain menunaikan tuntutan agama, puasa juga berperanan sebagai penyembuh yang dapat memulihkan kesihatan serta penyuci jiwa dengan mengekang hawa nafsu daripada sifat keterlaluan.
Penghayatan terhadap ibadah ini melahirkan insan yang berjiwa murni serta memiliki akhlak terpuji. Ia mendidik hati agar lebih menyayangi dan bersimpati terhadap golongan yang kurang bernasib baik, di samping menanamkan sifat rendah diri dalam diri seseorang.

Lebih daripada itu, ibadah puasa menyedarkan kita akan keagungan Allah SWT serta kebesaran rahmat dan nikmat-Nya yang tidak terhitung. Dengan itu, seseorang Muslim akan lebih dekat kepada-Nya, sekali gus mencapai martabat ketakwaan yang sebenar.
Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” [Al Baqarah, 2:183]
Apabila seseorang hamba berpuasa pada permulaan bulan Ramadan, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadan berikutnya.
Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga dengan pintu yang diperbuat daripada emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70,000 malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga tenggelam matahari.
Maksud sabda Rasulullah SAW: “Pada permulaan malam bulan Ramadan, Allah SWT menilik makhluk-Nya. Apabila Allah SWT telah memandang kepada seseorang hamba, pasti hamba tersebut tidak akan diseksa selama-lamanya. Pada setiap malam bulan Ramadan, terdapat seribu pembebasan dari api neraka.”
Sabda Rasulullah SAW lagi: “Bagi setiap sesuatu itu pintu dan pintu ibadah ialah puasa.”

Rasulullah SAW juga menyatakan bahawa sesiapa yang membuka bulan Ramadan dengan melakukan amal kejahatan yang diharamkan oleh Allah SWT seperti meminum arak, berzina dan sebagainya, maka Allah SWT tidak akan menerimanya pada bulan tersebut.
Malah, dia akan dilaknat oleh Allah SWT dan malaikat yang berada di tujuh petala langit sehingga Ramadan yang akan datang.
Sekiranya dia meninggal dunia di antara dua Ramadan tersebut, maka tiada baginya sebarang kebajikan di sisi Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW lagi: “Berterusanlah kamu mengetuk pintu syurga.” Aisyah RA bertanya, “Dengan apakah wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW bersabda: “Dengan berlapar (membanyakkan puasa).”
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amalan anak Adam itu baginya. Satu kebaikan dibalas dengan 10 ganjaran hingga 700 kali ganda.”
Allah SWT berfirman: “Melainkan puasa, sesungguhnya ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang akan membalasnya. Sesungguhnya dia meninggalkan syahwat, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku. Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah SWT daripada haruman kasturi.” [Hadis Riwayat Bukhari]
Bulan puasa bulan kesabaran
Sebahagian besar amalan puasa itu sendiri terdiri daripada sifat sabar. Manakala balasan bagi sifat sabar pula, tiada batasannya.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” [Al-Zumar, 39:10]
Oleh kerana inilah, Nabi Muhammad SAW menamanakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran.
Sabar terbahagi kepada 3 jenis:
1. Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.
2. Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.
3. Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.
Kesemua jenis sabar ini terangkum dalam ibadah puasa kerana orang yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa.
Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dalam hadis Salman RA berkaitan kelebihan puasa Ramadan: “Ramadan adalah bulan kesabaran dan pahala sabar ialah syurga.”

* Penulis merupakan Pengerusi Kumpulan Pendidikan Sofa. Tulisan ini dipetik daripada kitab Tazkirah Ramadan: Cara Salafussoleh Menghayati Bulan Ramadan karangan penulis.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak melambangkan pendirian Malaysia Tribune.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |