
Perolehan Blackhawk dibatal: TDM terima beberapa kertas cadangan baharu – Panglima Tentera Darat
KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menerima kertas cadangan daripada beberapa syarikat yang menawarkan diri untuk membekalkan helikopter Black Hawk selepas kontrak sewaan pesawat tersebut dibatalkan baru-baru ini.
Menurut Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) kini sedang merancang untuk membuka tender semula (re-tender) bagi projek perolehan pesawat udara tersebut pada masa hadapan.
“Pihak Kementerian Pertahanan sedang merancang untuk buat tender semula projek dan apa yang berlaku sekarang adalah kita telah mendapat beberapa ‘proposal’ daripada beberapa syarikat yang menawarkan diri mereka untuk membekalkan pesawat udara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Hari Tentera Darat ke-92 Tahun 2025 di Dataran Panglima Tentera Darat Kem, Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.
Tema Hari Tentera Darat ke-92 “Sinergi Tentera Darat dan Rakyat: Pemangkin Aspirasi Angkatan Masa Hadapan” melibatkan dua kontinjen yang terdiri daripada 9 detasmen, merangkumi 38 pegawai dan 878 anggota lain-lain pangkat.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan satu notis pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Black Hawk telah dikemukakan kepada syarikat kontraktor yang gagal membekalkan empat helikopter Black Hawk untuk kegunaan TDM.
Beliau berkata, tindakan itu diputuskan selepas syarikat berkenaan tidak memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan walaupun sudah dilanjutkan sehingga akhir Oktober lalu.
Tambah Jeneral Muhammad Hafizuddeain, nilai projek tersebut tetap kekal pada paras RM200 juta, dengan keperluan sewaan selama 5 tahun untuk empat buah pesawat sebagai syarat minimum.
Walau bagaimana pun, beliau menegaskan bahawa TDM masih membuka ruang bagi sebarang cadangan daripada mana-mana pihak yang berminat dan berkemampuan untuk memenuhi keperluan tersebut.
“Itu saya rasa memberi sedikit cabaran kepada pengusaha-pengusaha atau kontraktor yang berminat ini, dari segi ekonomi, macam mana mereka kata perkara itu agak mencabar,” jelasnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |