Gaya HidupRencana

Masyarakat diminta salur bantuan kepada NGO berdaftar dengan PBT

SETIAP kali tibanya Ramadan, pasti banyak kumpulan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengagihkan makanan kepada gelandangan di sekitar ibu kota.

Bahkan saban tahun, sumbangan terhadap kerja-kerja yang diharap memberikan pahala dan ganjaran itu semakin meningkat termasuk dari pihak swasta dan individu perseorangan.

Bagaimanapun, kerja-kerja pengagihan yang dilakukan secara sembarangan dan tidak diselaras dengan betul boleh menyebabkan berlakunya pembaziran dan pencemaran sisa makanan di tempat awam.

Orang ramai dinasihatkan menyalurkan bantuan melalui NGO yang berdaftar dengan DBKL dan bukan bertindak mengagihkan makanan kepada gelandangan sendiri.

Menyedari masalah yang berlanjutan pada setiap kali tiba bulan Ramadan itu, orang ramai diseru supaya bersikap lebih peka kepada isu yang tidak berkesudahan ini.

Pengasas Eliana Charity Group, Nur Eliana Abdullah berkata, salah satu cara bagi mengatasi masalah itu adalah dengan menyalurkan bantuan kepada NGO-NGO berdaftar dengan pusat gelandangan yang diwujudkan oleh kerajaan.

Melalui cara itu katanya, kerja-kerja memberi bantuan dapat dilakukan secara lebih tersusun tanpa berlaku pembaziran dan mengotorkan kawasan.

“Banyak sebenarnya NGO yang berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menguruskan agihan makanan kepada gelandangan di pusat-pusat yang disediakan kerajaan.

Nur Eliana Abdullah

“Antaranya ialah Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), Food4U, Pink Squard, Kechara Soup Kitchen, Gombak Food Prihatin, Happy Caring Heart Crew dan Eliana Charity Group sendiri,” jelas beliau.

Tambah Nur Eliana, bagi sesetengah pihak, pengagihan makanan kepada gelandangan secara ‘sendiri’ mungkin tidak mendatangkan apa-apa masalah yang serius.

Tetapi sekiranya ramai yang berpendapat dan berbuat demikian, keadaan akan memberi impak yang tidak baik.

“Ramai yang mahu membantu tapi tanpa kaedah agihan yang tersusun ia boleh menyebabkan makanan tidak dibahagikan secara berkesan dan ada juga yang menerima makanan secara berlebihan,” katanya.

Menurut beliau, NGO-NGO tersebut dan agensi seperti DBKL mempunyai pengalaman dan sistem pengagihan yang lebih teratur terutama dari segi lokasi, masa dan kebersihan makanan.

Bahkan katanya, pihak berkuasa juga ada mengeluarkan larangan kepada orang ramai supaya tidak mengagihkan makanan di sesetengah kawasan di ibu kota.

Salah satu NGO terlibat mengagihkan makanan kepada gelandangan di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit, Food 4 U.

DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) turut bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara dalam menyediakan pusat-pusat khas gelandangan bagi memudahkan penyelarasan bantuan tanpa menjejaskan ketenteraman awam.

Antaranya seperti Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Anjung Singgah, Anjung Kembara dan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit.

“Eliana Charity Group sendiri sentiasa berusaha memastikan setiap sumbangan yang diterima diagihkan secara sistematik.

“Kami bekerjasama rapat dengan DBKL dan NGO lain supaya makanan dan keperluan asas sampai kepada penerima yang benar-benar memerlukan.

“Jika masyarakat ingin membantu, cara terbaik adalah menyumbang melalui saluran yang telah ditetapkan,” jelas beliau.

Pusat Pembelajaran Komuniti di Chow Kit ini merupakan salah satu pusat yang mengendalikan agihan makanan yang berdaftar dengan Yayasan Kebajikan Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhubung dengan NGO atau pusat kebajikan sebelum memberikan bantuan.

Dengan cara ini, sumbangan yang diberikan dapat digunakan secara lebih berkesan dan memberi manfaat jangka panjang kepada penerima.

Tidak lupa, beliau berharap lebih banyak pihak tampil untuk memberikan kerjasama dalam menangani isu gelandangan secara lebih mampan.

“Kita semua mahu membantu, tetapi biarlah dengan cara yang terbaik dan paling berkesan,” ungkapnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button