Berita Semasa

KPKM perhalusi mekanisme kawal percampuran BPT dengan BPI

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran beras putih tempatan (BPT) dengan beras putih import (BPI).

KPKM berkata, tiada peruntukan yang jelas mengenai pendakwaan kesalahan percampuran beras di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta perundangan subsidiari di bawahnya.

Jelasnya, hasil kajian umum Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) turut mendapati, pencampuran BPT dan BPI bukanlah amalan baharu, sebaliknya telah berlaku sejak tahun 1970-an dan tiada sebarang usaha dijalankan sejak 50 tahun lalu untuk mengawal aktiviti ini.

“Mengambil kira pandangan pesawah, pengguna dan industri, Kerajaan MADANI mengambil tanggungjawab untuk mengawal amalan ini.

“KPKM telah diarah untuk memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran ini menerusi perundangan serta merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif bagi pertimbangan Jemaah Menteri,” kata KPKM dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, mekanisme bagi mengawal percampuran BPT dengan BPI ini turut mendapat sokongan MyCC sebagai usaha penyelesaian jangka panjang.

Kenyataan itu turut memberitahu, siasatan kehilangan beras putih tempatan mendapati punca kekurangan BPT adalah disebabkan struktur harga belian padi, kos pengeluaran beras, harga siling BPT dan tiada peruntukan khusus larangan campuran beras.

“Dalam situasi itu, pesawah mahu mendapatkan harga padi yang tinggi bagi meningkatkan pendapatan, pengilang dan pemborong pula ingin mengekalkan margin keuntungan manakala pengguna hendak mendapatkan beras berharga RM26 bagi 10 kilogram.

“Kesannya, wujud ketidakseimbangan dalam industri kerana setiap penyelarasan harga lantai belian padi tanpa disertai dengan semakan harga siling BPT boleh menyebabkan pengeluar beras tidak dapat menampung kos pengeluaran, yang akhirnya menjejaskan bekalan BPT di pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, bagi mencari solusi ‘menang menang’ kepada pesawah, pemain industri dan pengguna, KPKM sudah memulakan reformasi besar-besaran terhadap sektor padi dan beras negara secara berfasa mulai Oktober 2024.

“Antara langkah awal yang telah diambil adalah dengan menstruktur semula tadbir urus bagi mengelakkan konflik kepentingan, mengkaji semula Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), menubuhkan Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA) dan memperkasakan peranan MARDI dalam mengenalpasti varieti beras melalui teknologi DNA,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button