Berita Semasa

Kerajaan terus bela nasib anak veteran ATM

ALOR SETAR – Kerajaan akan terus membela nasib anak veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kehilangan upaya akibat kecederaan semasa bertugas.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) memahami keadaan mereka yang tidak mampu lagi bekerja selepas bersara, terutamanya kepayahan yang mereka lalui dalam menampung perbelanjaan keluarga termasuk pendidikan anak-anak di peringkat tinggi.

program adly zahari
Adly ketika menyantuni para veteran ATM dalam Program Peduli Veteran Madani (MVM) 2025 di daerah Pkok Sena, Kedah semalam. – fb/Adly Zahari

“Kerajaan amat menghargai jasa dan pengorbanan veteran ATM dan justeru itu, Kementerian Pertahanan melalui JHEV sudah menambahbaik beberapa faedah antaranya membabitkan pendidikan anak veteran.

“Julat Elaun Pelajaran Anak-Anak Penerima Pencen Hilang Upaya turut dinaikkan daripada RM200 hingga RM685 setahun kepada RM1,600 hingga RM5,400 setahun mengikut tahap pendidikan, sekiranya ada lima anak yang belajar ke universiti, setiap orang layak dapat jumlah yang ditetapkan.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 700 ke 800 peratus daripada kadar sebelum ini, apa sahaja kecederaan yang dialami oleh mereka semasa bertugas, kerajaan perlu mengambil tanggungjawab sama ada terhadap veteran itu sendiri, keluarga mereka serta memastikan pendidikan anak-anak mereka terjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Ganjaran Hilang Upaya Veteran ATM Kedah, di sini semalam.

Pada majlis itu, seramai 34 veteran ATM yang cedera sewaktu melaksanakan operasi atau menjalani latihan yang berisiko tinggi menerima faedah Ganjaran Hilang Upaya (GHU) serta lapan penerima terdiri daripada anak-anak veteran menerima sumbangan komputer riba.

Adly berkata, pemberian GHU kepada lebih 1,800 veteran ATM yang sepatutnya diselesaikan sebelum Ramadan ini, akan cuba diselesaikan sebelum Aidilfitri berikutan terdapat beberapa kekangan yang dihadapi terutamanya membabitkan Sabah dan Sarawak.

Beliau turut memaklumkan kerajaan turut menaikkan Elaun Layanan Sentiasa kepada veteran daripada RM440 kepada RM1,500 sebulan selaras dengan Perintah Gaji Minimum 2022.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button