Berita Semasa

Kaum Cina, India disaran galak anak sertai ATM, bidang pertahanan bukan hanya untuk Melayu – PTD

KUALA LUMPUR – Ibu bapa dalam kalangan masyarakat Cina dan India digalakkan untuk mendorong anak-anak mereka menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana bidang pertahanan negara seharusnya tidak hanya dipikul oleh satu bangsa sahaja.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, penglibatan bangsa Cina dalam perkhidmatan pertahanan ketika ini amat rendah iaitu 0.3 peratus sahaja, manakala, kaum India pula hanya 1.3 peratus.

“Jadi, kita tak boleh nak harapkan bangsa Melayu sahaja untuk mengaturkan keselamatan dalam angkatan tentera ini.

“Kita perlukan lagi penglibatan daripada bangsa-bangsa lain untuk sama-sama kita pikul tanggungjawab untuk mempertahankan negara kita yang tercinta ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-92 di Datara Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan pada Perbarisan Hari Tentera Darat ke-92 Tahun 2025 di Dataran Panglima Tentera Darat Kem, Perdana Sungai Besi. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune.

Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddeain berkata, sebelum ini Tentera Darat Malaysia (TDM) telah melakukan perlbagai usaha untuk mendidik orang ramai dengan mempromosikan bidang pertahanan di sekolah-sekolah bermula di peringkat rendah.

Katanya, usaha lain yang turut dilakukan adalah dengan mengkaji semula faktor gaji bagi menarik minat kaum Cina dan India agar terlibat dalam bidang pertahanan.

“Kenapa bangsa lain kurang minat? Sebabkan tarikan ekonomi itu kurang.

“Orang tidak boleh buat wang jadi kita nak mereka yakin bahawa perkhidmatan ATM ini sebenarnya, walaupun tidak menjadikan kita kaya raya tapi, boleh memberi jaminan, kerjaya yang selamat dan boleh menjamin keselesaan dalam hidup.

“Yang penting, peluang ataupun ruang untuk mereka juga menyumbang kepada apa kita mahu (keamanan negara),” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain berkata, langkah lain yang sering disebut dan diberikan perhatian bagi menarik minat bangsa lain selain Melayu menyertai ATM adalah pencarian bakat khusus dalam kepakaran teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh digunakan sebagai pengantara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button