
Beli awal tak kalut, mahu tumpu ibadah
MENJELANG ketibaan bulan penuh keberkatan, Ramadan Al-Mubarak esok, suasana di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman kembali meriah.
Tinjauan Malaysia Tribune di lokasi tersebut hari ini mendapati para peniaga telah pun membuat persiapan, manakala pelanggan juga telah membeli keperluan menyambut perayaan lebih awal sebelum ibadah puasa bermula.

Seorang peniaga, Nurul Syuhada Sabirin, 18, yang baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, Ramadan tahun ini memberi keseronokan tersendiri kerana dia akan membantu ibunya, Norayati Johol, 56, berniaga pakaian.
“Ibu telah berniaga di lokasi ini sejak tiga tahun lalu. Jadi tahun ini saya memang teruja. Kami menyasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 100 helai jubah sepanjang bulan puasa ini.
“Semua koleksi jubah, ibu ambil dari Indonesia seperti di Jakarta, Medan dan Pekan Baru. Kami menawarkan harga jubah Muslimah serendah RM80 hingga RM150. Insya-Allah, kami juga akan memberi diskaun jika pelanggan membeli banyak,” kata Nurul Syuhada.
Sementara itu, Muhammad Idham Romahadi, 19, yang bekerja menjual kurta daripada jenama Adi Putra XQalee Eksklusif di Bazar Masjid India itu pula sibuk dengan persiapan stok kurta.

“Kami ada 2,000 stok kurta dari saiz kanak-kanak hingga dewasa. Harap pelanggan datang awal untuk membeli. Sekarang tengah persiapkan kedai dan cek stok.
“Duta jenama ini iaitu Datuk Adi Putra akan datang ke bazar ini pada pertengahan Ramadan nanti untuk bertemu pelanggan,” jelasnya.
Di sebalik kesibukan persiapan Ramadan bagi peniaga, Ibu Narti iaitu seorang tukang jahit berpengalaman berkongsi, kedainya tidak mengambil sebarang tempahan tahun ini.

Cuma, dia memilih mengambil tempahan memotong atau mengubahsuai baju raya atau memasang awning tudung sahaja.
“Pada usia begini, saya mahu santai-santai tanpa tertekan nak siapkan tempahan pelanggan,” ujarnya.
Dalam kalangan pelanggan pula, ramai memilih untuk membeli lebih awal supaya dapat fokus kepada ibadah di bulan Ramadan.
Bapa kepada empat cahaya mata, Uwais Mukhlis, 47, berkata, dia dan isteri memang selalu membeli-belah awal sebelum berpuasa.

“Hari ini saya dah beli baju raya, kasut dan barangan lain untuk keluarga. Semua ini kami lakukan kerana tidak mahu pening kepala membuat persiapan di akhir Ramadan.
“Kami mahu menumpukan perhatian pada ibadah pula apabila puasa bermula esok. Insya-Allah,” jelas beliau yang bekerja di sektor swasta.
Ditanya mengenai cabaran ekonomi yang mungkin dihadapi, Uwais menegaskan bahawa cabaran hidup memang sentiasa ada.
“Cuma ia bergantung bagaimana untuk kita menghadapinya. Sama ada hendak mengeluh atau berusaha mengatasi cabaran tersebut,” ungkapnya positif.
Seorang lagi pelanggan, Ayah Su, 72, dari Kampung Baru turut berkongsi pandangan yang sama.

“Saya suka buat persiapan awal supaya tak kalut. Dua hari lalu saya dah beli dua pasang baju Melayu. Hari ini saya beli lagi sepasang dan capal.
“Malam ini, dah nak mula solat tarawih. Saya pun nak fokus dan tumpu pada amal ibadat,” ujarnya yang merupakan bekas kakitangan bidang perhotelan.
Bagaimanapun, tidak semua berpeluang membuat persiapan awal dalam menyambut bulan Ramadan dan Syawal.
Menurut Nurul Shahidatul Najwa, 24, yang melakukan latihan industri di Hotel Sheraton, dia berasa sedih kerana tidak dapat cuti raya tahun ini.

“Setakat ini saya belum buat apa-apa persiapan. Untuk Ramadan pula, saya lebih suka masak sendiri kerana dapat berjimat.
“Saya harap Ramadan kali ini akan memberi peluang bagi saya menambah amal berbanding tahun lalu,” katanya yang berasal dari Temerloh, Pahang.

Apa yang pasti, di sebalik persediaan menjelang Ramadan, Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman kekal sebagai destinasi pilihan utama bagi mereka yang ingin membeli-belah.
Dengan pelbagai pilihan pakaian dan barangan keperluan, para peniaga dan pelanggan sama-sama berharap Ramadan tahun ini membawa keberkatan dan kelancaran dalam urusan masing-masing.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |