Berita Semasa

Umat Islam di Malaysia mulai puasa Ahad ini

PUTRAJAYA – Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada Ahad ini (2 Mac 2025), demikian menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Ketika mengumumkannya, beliau berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari tersebut bagi menurut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman ringkas itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui satu kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah hari ini.

Jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan melihat anak bulan Ramadan pada petang tadi di 29 lokasi penting di seluruh negara.

Cerapan anak bulan di PICC Putrajaya hari ini – Foto MT

Di Wilayah Persekutuan ialah tingkat 13 di Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (Menara Kuala Lumpur) serta Pusat Konvensyen Antarabangsa dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis, Perlis.

Lokasi lain turut terpilih ialah Pontian Kecil (Johor); Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara (Melaka); Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan); Bukit Melawati (Kuala Selangor), Bukit Jugra, Banting (Kuala Langat) dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam.

Senarai lain, Pantai Pasir Panjang, mukim Pengkalan Baru, daerah Manjung (Perak) serta Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang) manakala di Kedah, Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Pemandangan Indah (Pulau Langkawi) dan Menara Alor Setar, Alor Setar.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Lokasi turut terpilih di Terengganu ialah Bukit Besar (Kuala Terengganu), Bukit Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut) dan Balai Cerap KUSZA (Mukim Merang, Setiu) manakala di Kelantan melibatkan Bukit Peraksi (Pasir Puteh), Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram (Kuala Krai) dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu.

Tiga tempat di Sarawak pula ialah Esplanade Luak (Miri), Teluk Bandung (Kuching), Tanjung Batu (Bintulu) dan satu lokasi di Sabah iaitu Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan serta tiga di Pahang merangkumi Bukit Tanjung Batu (Nenasi), Gunung Berincang (Cameron Highlands) dan Bukit Pelindung, Kuantan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button