
Rugi RM165 juta: FELDA komited perkukuh kedudukan kewangan
KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kedudukan kewangan serta memastikan kelestarian kewangan jangka panjang.
Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, FELDA mengalu-alukan laporan Ketua Audit Negara seperti yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 bagi Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 yang menyatakan bahawa dua syarikat subsidiari FELDA mencatatkan kerugian berjumlah RM165 juta.
FELDA menjelaskan bahawa kenyataan tersebut merujuk kepada prestasi syarikat subsidiari dan bukannya FELDA secara keseluruhan.
“Antara faktor utama yang menyumbang kepada kerugian tersebut adalah pembayaran faedah sebanyak RM136 juta kepada GOVCO Holdings Berhad serta penjejasan nilai pelaburan dalam syarikat bersekutu akibat penurunan harga pelaburan saham pada tahun 2023, yang mencatatkan penurunan sebanyak RM25 juta berbanding RM38 juta pada tahun sebelumnya,” menurut kenyataan itu.
Namun begitu, laporan sama turut menunjukkan bahawa sembilan syarikat subsidiari FELDA berjaya mencatatkan keuntungan, mencerminkan keberkesanan strategi pengurusan dan perancangan kewangan yang diambil oleh agensi tersebut.
“Bagi memastikan kedudukan kewangan yang lebih kukuh dan mampan, FELDA sedang melaksanakan pelbagai langkah strategik termasuk meningkatkan kecekapan pengurusan serta mengurangkan risiko kewangan.
“Di samping itu, usaha memperkukuh kawalan kewangan dan memperbaiki prestasi anak-anak syarikat turut menjadi fokus utama bagi menjamin kestabilan serta daya tahan FELDA dalam jangka masa panjang.
“FELDA kekal optimis bahawa langkah-langkah yang diambil akan memastikan agensi ini terus berada di landasan yang betul dalam mencapai matlamatnya untuk memperkasakan ekonomi peneroka dan mengukuhkan sektor perladangan negara,” kata kenyataan itu lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |