
96 PATI ditahan dalam operasi Imigresen di Kajang
KAJANG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 96 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan di kawasan penempatan warga asing di sini, awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pada pukul 1.40 pagi itu melibatkan 116 pegawai daripada pelbagai bahagian JIM serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Daripada 135 individu yang diperiksa, 96 PATI berusia 20 hingga 69 tahun dari Bangladesh, Myanmar dan Indonesia ditahan atas kesalahan imigresen, termasuk tiada dokumen sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
“Operasi tertumpu di sebuah lot persendirian yang dipenuhi rumah sewa tidak tersusun.
“Beberapa PATI cuba melarikan diri namun berjaya diberkas. Kesemua mereka ditempatkan di Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JIM menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), termasuk majikan yang menggaji atau melindungi PATI.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |