
RUU Majlis Media Malaysia 2024: Era baharu kebebasan, etika kewartawanan
SELEPAS lebih lima dekad melalui proses perbincangan dan rundingan, Malaysia akhirnya melangkah ke satu era baharu dengan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024.
Langkah ini bukan sekadar memperkukuh kebebasan media, tetapi juga menandakan komitmen negara dalam mewujudkan sebuah ekosistem media yang lebih bertanggungjawab, profesional dan beretika.
Dengan fungsi utama untuk menetapkan piawaian, mengawal selia etika kewartawanan serta memperjuangkan hak pengamal media, Majlis Media Malaysia (MMM) dijangka memainkan peranan penting dalam membentuk landskap media yang lebih bebas dan lestari di negara ini.

Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong berkata, RUU MMM 2024 merupakan satu lonjakan besar dalam landskap media negara, menandakan kejayaan selepas lebih 50 tahun perbincangan dan rundingan intensif untuk menubuhkan sebuah majlis khusus bagi mengawal selia hal ehwal media.
“MPI memuji ketekunan kerajaan semasa khususnya Kementerian Komunikasi dalam melibatkan pengamal media, terutamanya ahli jawatankuasa sementara dalam usaha yang mencabar untuk mengimbangi pelbagai kepentingan media bagi menubuhkan majlis ini.
“Walaupun cadangan penubuhan badan seperti ini bermula sejak tahun 1973, momentum lebih besar dicapai melalui perbincangan mendalam yang bermula awal tahun 2023,” kata beliau kepada Malaysia Tribune.

Menurut beliau, RUU MMM membawa kejelasan dalam pelbagai fungsinya termasuk menetapkan piawaian, menggubal kod etika bagi pengamal media,serta mempromosikan kewartawanan beretika, kebebasan media dan hak pengamal media pada tahap tertinggi.
“Peruntukan dalam RUU ini yang memberikan kuasa kepada MMM untuk mengawal selia etika dan tatakelakuan profesional pengamal media merupakan satu langkah penting ke arah kawalan kendiri dalam industri media.
“Selain itu, usaha menggalakkan komunikasi antara pengamal media, kerajaan dan masyarakat umum juga disambut baik sebagai satu perkembangan positif,” jelasnya.
Tambah beliau, keupayaan MMM untuk mencadangkan reformasi berkaitan undang-undang kebebasan media, di samping peranannya dalam menyelaras serta memudah cara latihan dan pembangunan profesional wartawan, dijangka memberi manfaat besar kepada industri media tempatan.
Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Siti Suriani Othman turut menyambut baik langkah tersebut dan menyifatkan ia satu perkembangan positif bagi landskap media negara.

“Inisiatif ini dapat memperkukuh kebebasan media, meningkatkan etika kewartawanan, memastikan keselamatan wartawan serta memperbaiki amalan kewartawanan di Malaysia.
“Bagaimanapun, antara cabaran utama yang perlu ditangani ialah campur tangan kerajaan dalam MMM itu sendiri.
“Diharap MMM benar-benar bebas daripada pengaruh kerajaan, seiring dengan model Dewan Pers Indonesia yang ditubuhkan oleh pengamal media, pemilik media, dan ahli akademik tanpa wakil kerajaan dalam sebarang keputusan,” katanya.
Dr. Siti Suriani turut menyuarakan beberapa harapan terhadap fungsi MMM.
Antaranya ialah memastikan wartawan tidak ditekan oleh kuasa politik atau faktor luaran yang mengganggu kebebasan mereka dalam menjalankan tugas.
“Selain itu, diharap MMM dapat menegakkan amalan etika kewartawanan di tahap tertinggi, melindungi kebebasan media serta menjadi badan penyelesaian konflik dalam industri media secara adil dan bebas tanpa perlu campur tangan kerajaan atau mahkamah,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau juga mencadangkan supaya MMM mewujudkan sistem pengiktirafan wartawan profesional sepertimana yang dilakukan oleh Dewan Pers Indonesia.
“Sistem ini boleh merangkumi pengeluaran kad pengenalan khas bagi wartawan yang telah lulus ujian tertentu bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar berkelayakan diiktiraf sebagai wartawan profesional.
“Saya percaya dengan adanya MMM yang benar-benar bebas, adil dan profesional, ekosistem media Malaysia dapat diperkukuh serta menjamin kebebasan dan integriti kewartawanan dalam tempoh jangka panjang,” tegasnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |
One Comment