
Operasi LRT3 dijadual bermula 30 Sept depan
KUALA LUMPUR – Operasi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dijadual bermula pada 30 September depan, selepas projek itu diserahkan sepenuhnya kepada Prasarana Malaysia Bhd oleh kontraktor utama pada 31 Julai ini.
Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini berkata, kemajuan keseluruhan projek yang menghubungkan Shah Alam, Selangor dengan kawasan sekitarnya itu setakat ini mencapai 98.16 peratus.
Kata MOT, ujian pengoperasian tren tanpa penumpang akan turut dilaksanakan dalam dua peringkat bagi memastikan keselamatan perkhidmatannya.
“Dua ujian ini yang merangkumi pematuhan, ketahanan serta keselamatan sistem kereta api dan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan ‘Trial Run’ (TR) yang akan dijalankan serentak dengan ujian ‘Fault Free Run’ (FFR) oleh pihak kontraktor utama, Setia Utama LRT3 Sdn Bhd.
“Tempoh pengujian dianggarkan berlangsung selama 75 hari. Keputusan ujian FFR ini akan dinilai pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berdasarkan aspek keselamatan, pematuhan standard dan jaminan sistem kereta api tertentu,” katanya.
Kenyataan itu adalah bagi menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai status terkini projek LRT3, tempoh pelaksanaan ‘trial run’ tanpa penumpang serta sasaran pembukaan operasi sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun 2025.
Menurut MOT, ujian TR/FFR dijangka bermula pada pertengahan April depan dan selesai pada akhir Jun.
Selepas itu, ujian operasi atau “Trial Operation” (TO) akan dijalankan oleh Rapid Rail Sdn Bhd sebagai pengendali berlesen kereta api dengan bantuan teknikal daripada kontraktor utama sebaik ujian TR dan FFR selesai serta mendapat kelulusan APAD.
“Anggaran tempoh pengujian ini adalah selama 60 hari. Ujian TO ini dijangka bermula pada Julai depan dan selesai pada akhir Ogos,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |