
MalaysiaNTD rayu Prof. Madya Dr. Azizi Abu Bakar kembali bertugas
KUALA LUMPUR – Persatuan Kecanggaan Tiub Saraf Malaysia (MalaysiaNTD) merayu kepada Kementerian Pendidikan Tinggi agar mempertimbangkan semula keputusan penggantungan perkhidmatan Prof. Madya Dr. Azizi Abu Bakar sebagai Pakar Runding di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK).
Pengerusinya, Puan Norhafizah Hamizan, berkata keputusan itu telah memberi kesan besar kepada pesakit, khususnya kanak-kanak penghidap Spina Bifida yang sangat memerlukan kepakaran Dr. Azizi.
Menurutnya, memorandum rasmi telah diserahkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pada 21 Februari 2025 bagi merayu agar beliau dibenarkan kembali bertugas sementara siasatan penuh dijalankan.
Norhafizah menjelaskan bahawa Dr. Azizi yang memiliki kepakaran dalam Pembedahan Saraf Pediatrik merupakan antara pakar yang sangat diperlukan, bukan sahaja di HPKK tetapi juga dalam sektor perubatan negara.
“Beliau bukan sekadar seorang doktor, tetapi penyelamat kepada ramai kanak-kanak yang menghidap Spina Bifida.
“Penggantungan itu menyebabkan ramai pesakit kehilangan akses kepada rawatan berkualiti, terutama golongan B40 yang tidak mampu mendapatkan rawatan di hospital swasta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Dr. Azizi telah banyak membantu pesakit dari seluruh negara termasuk Pantai Timur, Utara, Selatan, Sabah dan Sarawak dengan menyediakan rawatan berasaskan konsep Patient-Centered Care and Outcomes.
MalaysiaNTD turut menzahirkan kebimbangan terhadap keputusan menggantung Dr. Azizi sebelum siasatan penuh selesai, selain meminta agar beliau diberikan ruang untuk membela diri.
“Kami berharap Kementerian Pendidikan Tinggi dapat meneliti semula keputusan ini demi kebajikan pesakit dan kesinambungan perkhidmatan perubatan berkualiti di negara ini,” katanya lagi.
Sebagai tanda sokongan, petisyen dengan tandatangan ibu bapa pesakit telah disertakan bersama memorandum yang dikemukakan kepada kementerian.
MalaysiaNTD berharap keputusan yang lebih adil dapat dibuat demi kepentingan pesakit dan masyarakat yang memerlukan rawatan terbaik dalam bidang neuro pediatrik.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Noraishah Mydin mendakwa Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK UKM), telah menggantung tugas Dr. Azizi Abu Bakar tanpa bukti kukuh.

Dakwaan itu mengundang kecaman ramai kerana beliau dikatakan pakar dalam bidang Spina Bifida dan penggantungannya didakwa menjejaskan rawatan pesakit.
Bagaimanapun, hasil siasatan dalaman mendapati penggantungan Dr. Azizi bukanlah tindakan sewenang-wenangnya.
Sebaliknya, siasatan menunjukkan bahawa beliau didakwa terlibat dalam gangguan seksual terhadap seorang staf di HPKK UKM.
Seperti prosedur biasa dalam mana-mana organisasi profesional, seseorang yang disiasat atas tuduhan serius seperti itu perlu digantung tugas sementara menunggu keputusan siasatan penuh.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |