Berita Semasa

JDN lancar garis panduan AI, pacu transformasi digital perkhidmatan awam

PUTRAJAYA – Pelancaran Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam hari ini membuktikan komitmen Jabatan Digital Negara (JDN) dalam memacu transformasi pendigitalan sektor awam terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, garis panduan ini selari dengan visi ‘Kerajaan Digital Mampan Pemangkin Negara Digital’ menerusi pembangunan ekosistem AI sektor awam yang inovatif, inklusif dan mesra rakyat.

“Teknologi AI bukan lagi sekadar teknologi masa depan, tetapi realiti hari ini.

“Dengan AI, kita mampu mempercepatkan pemprosesan data, memperkukuh bidang analitik dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan pelancaran garis panduan tersebut, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim; dan Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar.

Gobind seterusnya berkata, dalam mengadaptasi AI terutamanya dalam perkhidmatan awam, teknologi ini perlu dikawal selia dengan sebaiknya.

“Tanpa garis panduan etika dan tadbir urus yang jelas, AI boleh disalahgunakan dan menimbulkan risiko kepada keselamatan data, privasi, serta hak asasi manusia.

“(Oleh itu) Garis panduan yang diluncurkan hari ini akan menjadi asas kepada penggunaan AI yang bertanggungjawab dan beretika dalam sektor awam.

“Prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan, dan kesaksamaan mesti menjadi tonggak utama,” katanya lagi.

Garis panduan ini dibangunkan oleh JDN dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai satu rujukan khas sektor awam untuk memastikan pembudayaan dan penggunaan AI diterapkan dengan lebih bertanggungjawab dan beretika.

Ia mengandungi enam bab dan tiga lampiran yang dapat digunakan sebagai rujukan agensi sektor awam.

Antara kandungan garis panduan ini termasuk penerangan tentang pengenalan AI, prinsip etika yang perlu dipatuhi, peranan dan tanggungjawab aktor, pengurusan risiko, kaedah pengadaptasian dan turut disediakan templat penilaian kendiri untuk agensi mengenal pasti skop dan impak AI di agensi sektor awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button