
Siasatan HRD Corp: ‘Apabila keputusan keluar tiada sesiapa yang akan selamat’ – Steven Sim
KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku membabitkan agensi-agensi di bawah kelolaannya dan ia termasuk Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).
Menterinya, Steven Sim menegaskan, pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap HRD Corp.
“Pendirian KESUMA berhubung siasatan SPRM adalah jelas apabila saya sendiri telah mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Ketua Eksekutif (CEO) HRD Corp untuk buat laporan SPRM.
“Tidak pernah dalam sejarah sebuah kementerian mengarahkan agensi sendiri untuk membuat laporan SPRM berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
“Apabila keputusan keluar nanti tiada sesiapa yang akan selamat tidak kira sesiapa,” kata Steven dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu mengenai pendirian KESUMA berhubung siasatan yang dijalankan SPRM terhadap HRD Corp.
Terdahulu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024, berkata, KESUMA disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.
Wan Suraya berkata, terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat dan KESUMA perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.
Selain itu, Ketua Audit Negara juga menggesa HRD Corp supaya mengkaji semula keperluan pindaan terhadap Perlembagaan Syarikat berkaitan pengurusan dan operasi syarikat supaya selaras dengan peruntukan di bawah Akta PSMB 2001.
Pada Ogos tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, terdapat banyak input yang diperlukan pasukan penyiasat daripada pelbagai pihak dan semua isu yang dibangkitkan LKAN akan disiasat.
Beliau berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan ke atas HRD Corp dan memerlukan masa meneliti semua aspek berkaitan pelaburan dan tatakelolanya.
Sementara itu, Steven turut mengarahkan pegawainya untuk memberikan senarai gaji ketua pegawai eksekutif (CEO) bagi syarikat milik kerajaan (GLC) dan badan berkanun yang diletakkan di bawah kementeriannya.
“Soal gaji ini sebenarnya tidak ditentukan semasa saya menjadi menteri, namun saya boleh memberikan arahan untuk mendapatkan senarai gaji.
“Saya juga ingin menekankan bahawa kita perlu berlaku adil kepada pegawai-pegawai yang bertugas, bukan sahaja di GLC, tetapi juga di badan berkanun. Untuk menarik bakat yang berkualiti, kita perlu memastikan pampasan yang baik.
“Oleh itu, saya telah meminta pegawai untuk menyediakan senarai gaji-gaji yang tepat bagi Jelutong supaya beliau mendapat maklumat yang lengkap dan betul,” katanya sambil menegaskan bahawa KESUMA komited untuk mengelakkan sebarang kepincangan daripada berlaku pada masa akan datang.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Rayer yang bertanya mengenai gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), HRD Corp dan Talent Corp yang didakwa mencecah RM90,000 hingga RM120,000.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |