
Salahguna logo halal: KPDN, JAKIM pertimbang tingkatkan hukuman
KUALA LUMPUR- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang melihat keperluan meningkatkan hukuman kesalahan berkaitan penyalahgunaan logo halal.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, banyak pihak sudah mencadangkan hukuman tersebut diperketatkan kerana isu ini sangat sensitif dan penting, terutamanya bagi masyarakat Islam.
“Selain itu, setakat ini siasatan tertentu menjurus kepada usaha mengenal pasti sumber di peringkat awal yang melakukan kesalahan menyalahgunakan logo halal itu, namun kita juga sedang mempertimbang supaya tindakan diambil kepada pihak yang membuat kesilapan untuk tidak menyemak (pengesahan logo halal) kerana kebertanggungjawaban itu juga perlu di pelbagai peringkat.
“Itu juga dalam perkara yang sedang kita bincangkan bersama dengan JAKIM supaya tidak ada pihak yang lepas tangan dalam tanggungjawab dengan mudah tanpa membuat semakan terhadap produk yang dibawa, yang mempunyai logo halal untuk memastikan logo itu benar-benar sah dan diperakui JAKIM,” katanya.
Armizan berkata demikian keti menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPDN di Dewan Rakyat, hari ini.
Berkenaan aspek penguatkuasaan, Armizan berkata, pihaknya bertanggungjawab dalam aspek penguatkuasaan dan pihaknya sentiasa kerjasama dengan JAKIM dalam membuat hebahan umum, pemeriksaan halal, operasi khas, pemantauan platform e-dagang.
Sementara itu, Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) bertanggungjawab memastikan setiap permohonan cap dagang diterima dan diteliti sewajarnya bagi memastikan tiada penyalahgunaan nama, istilah perkataan, label dan elemen yang boleh dikaitkan dengan Islam, seperti logo kubah masjid, Kaabah, bulan sabit, bintang, simbol atau tulisan yang boleh dikaitkan dengan Islam, termasuk ayat suci Al-Quran pada produk dan perkhidmatan yang diniagakan peniaga bukan Islam jika digunakan bagi tujuan memperdaya dan mengelirukan pengguna Islam.
“Kita akan sentiasa membuat penguatkuasaan namun apa yang penting, kebertanggungjawapan di seluruh peringkat.
“Kita juga mengharapkan pasar raya memainkan peranan dengan menyemak sumber bekalan produk yang dimasukkan di semua peringkat, sama ada pemborong dan peruncit perlu menyemak portal Halal Malaysia yang dikendalikan JAKIM untuk membuat semakan barangan status halal yang diguna pakai oleh mana-mana premis sekali pun,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |