AgamaRencana

Kedudukan saf wanita: Kanak-kanak sepatutnya di hadapan, bukan di belakang

INSIDEN melibatkan seorang kanak-kanak perempuan yang dicabul ketika menunaikan solat Subuh di sebuah surau baru-baru ini mengejutkan masyarakat.

Menurut laporan media, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun sudah ditahan polis bagi membantu siasatan kes yang berlaku di Hulu Selangor itu.

Terdahulu, video tersebut tular di media sosial menyebabkan ada pihak yang membuat laporan pada pihak berkuasa.

Terdapat pelbagai spekulasi tanda prihatinnya masyarakat dalam menyumbang saranan, menghurai punca dan membincangkan hukuman setimpal buat pesalah.

Kedudukan saf di dalam solat jemaah sangat dititikberatkan dalam Islam bagi meraih kesempurnaan solat.

Salah satu isu yang dibangkitkan adalah berkaitan susunan saf solat wanita.

Apa yang pasti, kejadian itu bagaimanapun membuka peluang untuk kupasan perbincangan berkaitan saf solat yang perlu difahami oleh masyarakat.

Pensyarah Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa, Ustazah Amienah Ridzwan berkata, penyusunan saf bagi solat berjemaah merupakan satu perkara penting yang telah ditetapkan dalam syariat Islam bagi meraih kesempurnaan solat jemaah.

Ustazah Amienah Ridzwan

Isu saf solat jemaah wanita ini sering kali menjadi kekeliruan dalam masyarakat apatah lagi dikaitkan dengan hadis Riwayat Muslim: “Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah saf yang terawal dan seburuk-buruk saf bagi lelaki adalah yang terakhir, manakala sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang terakhir dan seburuk-buruk saf bagi wanita adalah yang terawal.”

“Imam Nawawi telah mensyarahkan hadis ini dengan menyifatkan kedudukan saf ini digunapakai apabila berlakunya solat jemaah di antara lelaki dan perempuan yang dilaksanakan tanpa pemisah di antara mereka.

“Namun sekiranya terdapat pemisah saf, maka keutamaan saf yang sebaiknya bagi wanita adalah tetap di hadapan,” jelas Ustazah Amienah kepada Malaysia Tribune.

Menurut beliau lagi, Imam Nawawi dalam kitab Al-Majmu’ menjelaskan bahawa susunan saf yang dianjurkan ialah pertama jemaah lelaki dewasa; kedua jemaah kanak-kanak lelaki, ketiga jemaah kanak-kanak perempuan dan terakhir jemaah wanita dewasa jika tiadanya pemisah saf.

Gambar di dalam buku teks Syariah tingkatan 2 menunjukkan kedudukan saf di dalam solat jemaah bagi lelaki dewasa, kanak-kanak lelaki, kanak-kanak perempuan dan wanita dewasa jika tiada tabir atau pemisah saf.

“Menyentuh isu malang yang menimpa kanak-kanak perempuan ketika sedang mengerjakan solat jemaah baru-baru ini, sewajarnya pihak pengurusan masjid, ibu bapa dan masyarakat saling perlu bekerjasama bagi membanteras dan mengelak pengulangan kes.

“Isu jenayah seksual boleh berlaku di mana-mana dan setiap pihak perlu mengambil inisiatif yang lebih agresif untuk menangani kes ini kerana akhlak dan kesantunan jati diri individu Muslim yang sering ditekankan dalam Islam kerapkali dipandang remeh.

“Oleh itu tidak mustahil gejala negatif ini akan terus menular sekiranya penjagaan aurat, pergaulan bebas, kehidupan sosial dan lemahnya ketegasan terhadap hukum Islam terus dipermainkan,” tegas beliau lagi.

Ustazah Amienah turut menasihatkan agar masyarakat terutama ibu bapa mendidik anak-anak tentang ketegasan hukum Islam yang perlu diterapkan dalam diri anak-anak, masyarakat dan individu untuk saling cakna akan implikasi buruk yang bakal berlaku terhadap masyarakat sekiranya diabaikan hukum Islam.

“Bagi ibu bapa yang membawa anak-anak ke masjid, ia adalah satu usaha dakwah yang sangat baik untuk membentuk jati diri mereka seawal usia, namun pantau dan pengawasan perlu diberikan agar objektif mendakwah dan mendidik mereka menyintai agama itu tercapai.

Ibu bapa yang membawa anak-anak kecil ke masjid atau surau perlu memantau keadaan mereka agar terhindar daripada perkara yang tidak diingini.

“Selain itu, pihak masjid dan surau juga perlu memperketatkan sistem keselamatan seperti memasang kamera litar tertutup (CCTV), melantik pengawal keselamatan dan sebagainya sebagai langkah penjagaan rapi untuk merealisasikan misi dakwah,” katanya.

Kesimpulannya, sekiranya setiap individu memainkan peranan yang baik dalam posisi amanah masing-masing, segala kemudaratan dapat dihindari.

Ia sekali gus membuktikan bahawa setiap ketetapan dalam agama Islam mempunyai maksud dan tujuan tersendiri yang bakal melahirkan jati diri yang mulia dan harmoni dalam masyarakat.

Begitulah keindahan Islam yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad SAW yang tidak mendiskriminasi mana-mana pihak, melindungi hak wanita dan kanak-kanak serta mengukuhkan kedudukan lelaki sebagai khalifah utama di dunia.

Semoga kejadian yang berlaku menjadi iktibar buat masyarakat agar lebih prihatin dan berusaha menjaga ketegasan setiap ketetapan agama Islam, melaksanakan setiap titah perintah Allah dan menjaga hak dan keselamatan anak-anak walau di mana sahaja kita berada.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button