Berita Semasa

Cuti umum 1 Ramadan ditukar ke hari raya ketiga mulai tahun ini – KM Melaka

AYER KEROH – Hari cuti umum 1 Ramadan bagi negeri Melaka ditukar kepada hari raya ketiga Aidilfitri mulai tahun ini.

Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, keputusan itu diambil bagi memberi lebih keselesaan kepada penjawat awam dan swasta di negeri itu untuk bercuti bersama keluarga sempena hari kebesaran Islam yang dijangka disambut pada akhir bulan depan, lapor portal Buletin Utama, hari ini.

“Kerajaan negeri memulakan satu langkah baharu dengan cuti umum pilihan yang pada kebiasaannya disambut pada awal Ramadan, dipindahkan menjadi cuti tambahan kepada hari raya ketiga bermula tahun ini.

“Ini menjadikan Melaka adalah negeri pertama yang memberikan cuti umum selama tiga hari pada Aidilfitri nanti.

“Diharap penjawat awam bolehlah merancang untuk bercuti bersama keluarga dan insya-Allah kita menjadi negeri rintis cuti pilihan dipindahkan kepada cuti hari raya ketiga pada Aidilfitri nanti,” katanya.

Ab Rauf kemudian berkata, beliau berharap masyarakat Islam di negeri itu dapat merebut peluang dengan mencari keberkatan menerusi pelaksanaan aktiviti serta ibadah sepanjang bulan yang penuh keberkatan itu.

“Saya juga mahukan bulan mulia itu menjadi medan untuk memperbaharui hubungan dan menebarkan kasih sayang serta memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada seluruh rakyat terutamanya di Melaka,” katanya lagi.

Mengenai pengoperasian bazar Ramadan dan Aidilfitri, Ab Rauf berkata, beliau mahu pihak berkaitan sentiasa memantau lokasi berkenaan dan bertindak sekiranya terdapat komen dan reaksi daripada orang ramai.

“Insya-Allah saya yakin segala masalah akan dapat diatasi dengan komitmen serta kerjasama semua pihak khususnya dalam kalangan peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri kelak,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button