Politik

Amirudin sah bertanding pemilihan parti 24 Mei

SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan akan bertanding merebut jawatan peringkat pimpinan pusat pada pemilihan parti 24 Mei ini.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, beliau belum dapat mengesahkan jawatan yang bakal ditandinginya setelah mengambil kira keperluan mewujudkan kestabilan parti, lapor SH Online.

“Saya perlukan sedikit masa. Bagi saya, yang penting bukan kedudukan dalam PKR tetapi bagaimana untuk memperkukuh parti. Adakah tujuan dan niat saya bertanding akan memperkemas atau menimbulkan perpecahan dalam parti?

“Pada waktu ini PKR adalah parti kerajaan dan antara tunjang penting dalam Kabinet termasuk jawatan Perdana Menteri. Apa-apa berlaku di peringkat parti akan memberi kesan kepada kerajaan. Itu harus difikirkan dengan teliti,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan bas elektrik bagi program SMART Selangor, di sini hari ini.

Beliau mengakui telah bertemu beberapa pihak, dengan ada antara mereka menyarankan beliau untuk mengekalkan jawatan sedia, selain terdapat saranan melibatkan jawatan lain.

Mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang dijangka tidak dipertandingkan pada pemilihan kali ini, Amirudin berpandangan terdapat ruang untuk perbincangan berhubung perkara itu.

Beliau berkata hak demokrasi tetap diberikan dalam pemilihan tersebut dan parti juga terbuka kepada mana-mana ahli untuk berbanding.

“Tetapi kalau pertandingan itu akhirnya menimbulkan perbalahan dan menggoyang parti dalam jangka panjang terhadap keutuhan kerajaan, saya rasa ia wajar dimusyawarahkan (dirundingkan),” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berlangsung pada 24 Mei ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button