
Usaha basmi kemiskinan akan lebih agresif – PMX
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan usaha membasmi kemiskinan tegar akan dilipatganda dengan lebih agresif untuk membawa keluar lebih ramai rakyat negara ini dari belenggu kemiskinan.
Beliau berkata, melalui pelbagai dasar dan pelaksanaan secara menyeluruh, program bantuan bersasar serta usaha bersepadu di peringkat akar umbi, kerajaan akan terus memastikan golongan yang benar-benar memerlukan dibantu untuk mengecapi kehidupan yang lebih baik dan bermaruah.
“Usaha ini bukan sekadar memberikan bantuan sementara, tetapi juga memastikan setiap keluarga berpeluang untuk berdikari, memperoleh pekerjaan yang lebih baik dan meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berpeluk tubuh melihat rakyat terus dihimpit kemiskinan dan menyeru sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu prihatin untuk turut serta dalam usaha membasmi kemiskinan secara menyeluruh.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi telah menyampaikan sumbangan bantuan kepada keluarga yang memerlukan di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Permatang Pauh, iaitu Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.
Anwar berkata, seramai 221 keluarga berjaya dibebaskan daripada belenggu kemiskinan tegar hasil daripada program yang telah dilaksanakan yang menjadi bukti nyata kejayaan Kerajaan MADANI membela rakyat yang memerlukan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan bahawa kemiskinan bukan hanya masalah ekonomi, tetapi juga isu maruah dan keadilan sosial yang perlu ditangani secara serius dan berterusan.

Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |