Berita Semasa

Pembukaan PAWE Ampang beri peluang baharu warga emas terus produktif

KUALA LUMPUR – Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Ampang di Dewan Kampung Melayu Tambahan, di sini semalam.

Pejabat Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor dalam satu kenyataan berkata, pembukaan PAWE merupakan hasil kerjasama erat antara pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat.

“PAWE ini merupakan antara usaha kerajaan MADANI ke arah penuaan bermaruah atau penuaan dalam keadaan sihat, bahagia, dengan kualiti kehidupan yang baik.

“Kewujudan PAWE ini antaranya adalah untuk menangani isu isolasi sosial warga emas yang merupakan risiko untuk warga emas mendapat penyakit-penyakit seperti kemurungan yang boleh menyumbang untuk kewujudan penyakit dementia,” katanya.

Majlis Perasmian PAWE turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; ADUN Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Azmir Kassim.

Hadir sama, Setiausaha merangkap Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Ts Hasrolnizam Shaari dan Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas Ampang Salwa Yunus.

Dalam pada itu, pelbagai program yang telah dirancang menerusi pembukaan PAWE Ampang, seperti aktiviti riadah dan senaman disediakan untuk menjaga kesihatan fizikal warga emas.

“Bengkel kemahiran dan kelas pembelajaran turut ditawarkan bagi memperkasa warga emas dengan ilmu dan kemahiran baru, membolehkan mereka terus aktif dan produktif dalam masyarakat,” katanya.

Selain itu, PAWE Ampang juga mengutamakan kesejahteraan mental dan emosi warga emas dengan menawarkan ceramah kesihatan, pemeriksaan berkala, serta sesi kaunseling dan sokongan psikososial.

“Program interaksi antara generasi juga dijalankan untuk mengeratkan hubungan antara warga emas dan generasi muda, memperkukuhkan nilai sosial dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

“Semua inisiatif ini bertujuan untuk menangani masalah sosial, kesihatan, dan kesejahteraan warga emas dengan pendekatan yang holistik,” katanya dalam kenyataan sama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button