
Notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning akan dimaklum Selasa ini – Speaker DUN Perak
IPOH – Notis kekosongan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa ini.
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, proses pemakluman sama seperti yang pernah dilakukan ketika berlakunya kekosongan kerusi DUN Slim sebelum ini.
“Notis rasmi akan disampaikan kepada SPR paling awal menjelang hari Selasa ini,” katanya memetik Buletin TV3 hari ini.
Berdasarkan Perkara 36(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Speaker DUN akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).
PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis rasmi mengenai kekosongan kerusi itu.
Allahyarham Ishsam meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai kejohanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya, di Pulau Pinang petang semalam.
Allahyarham dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 5.40 petang, namun disahkan meninggal dunia pada jam 6.28 petang.
Arwah memenangi kerusi DUN Ayer Kuning buat penggal pertama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dengan majoriti 2,213 undi.
Beliau merupakan pemain bola sepak negeri Perak dan Negeri Sembilan pada tahun 1980 dan 90-an dan pernah mewakili skuad kebangsaan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |