Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Kerja naik taraf pusat beli-belah Alamanda Putrajaya cecah lebih RM106 juta

PUTRAJAYA – Kerja-kerja naik taraf pusat beli-belah Alamanda Putrajaya mencecah lebih RM106 juta, kata Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH), Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim.

Menurut Izwan Hasli, kerja-kerja naik taraf tersebut merangkumi ruang lantai berkeluasan lebih 200,000 kaki persegi dan beberapa tarikan baharu seperti taman tema Escape Putrajaya, panggung wayang dan penambahan lot kedai.

“Ini merupakan projek pengubahsuaian terbesar yang pernah dilancarkan oleh PjH sejak Alamanda dibuka pada 2004 dan setelah 20 tahun, tiba masanya kita menaik taraf pusat beli-belah ini.

“Alamanda yang baharu ini telah berjaya membawa wajah baharu dan saya yakin akan menjadi pemangkin kepada Putrajaya secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Alamanda Berwajah Baharu di sini hari ini.

Acara tersebut dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan.

Taman tema Escape Putrajaya antara tarikan terbaru yang ditawarkan di pusat beli belah Alamanda Putrajaya. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Mengulas komiten PjH untuk memajukan Putrajaya, Izwan Hasli berkata, PjH komited untuk membangunkan wilayah ini berdasarkan tiga nilai utama iaitu nilai pemangkin, nilai komersial dan nilai sosial.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan PjH kini dalam proses untuk membangunkan hotel baharu di sini, iaitu Fraser Residence menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, hotel tersebut merupakan hotel ketiga milik syarikat itu selepas The Everly Hotel dan DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside.

“PJH dan Pulse Group milik Perbadanan Putrajaya (PPj) akan bekerjasama untuk menganjurkan Festival Makanan ASEAN pada bulan Ramadan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

“Dua hotel milik PjH akan bekerjasama dengan Pulse Grande Hotel dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) milik Pulse Group dan Perbadanan Putrajaya bagi menjayakan festival tersebut,” katanya.

Jelas beliau, Festival Makanan ASEAN akan menampilkan cita rasa ASEAN yang secara tidak langsung akan dapat mempromosikan Kepengerusian ASEAN kepada semua.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button