
Guru tuisyen ditemui mati berlumuran darah
IPOH – Seorang guru tuisyen ditemukan mati dengan kesan kelar pada bahagian leher dan lengan bersama dengan sebilah pisau lipat di unit rumah kedai yang dijadikan pusat tuisyen di Jalan Chung Ah Ming, Taman Hoover, di sini petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, laporan penemuan mayat wanita berusia 53 tahun itu dibuat suaminya pada pukul 5 petang.
Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian menjumpai mayat wanita itu atas lantai di tingkat dua sebuah rumah kedai yang dijadikan pusat tuisyen, selain turut ditemukan sebilah pisau lipat berhampiran mayatnya.
“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kelar pada leher dan lengan selain menjumpai sebilah pisau lipat berhampiran mayat.
“Wanita itu dipercayai meninggal dunia kurang dari enam jam sebelum mayatnya dijumpai,” katanya hari ini.
Menurutnya lagi, siasatan di tempat kejadian bagaimanapun tidak menjumpai unsur jenayah atau sebarang kesan pergelutan yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah.
Mohamad Sajidan berkata, hasil temubual dengan suami mangsa mendapati wanita itu dipercayai mengelar leher dan lengan sendiri disebabkan tekanan susulan kesakitan atau nanah pada mata, dengan kali terakhir si suami bertemu isterinya itu adalah pada Khamis lalu.
“Mangsa baru saja menjalani pembedahan untuk mengeluarkan nanah pada matanya pada 19 Februari lalu. Dia juga pernah memberitahu suami dan keluarganya untuk membunuh diri kerana tidak tahan dengan kesakitan dan tahap penglihatan yang semakin berkurangan,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan awal pakar forensik mendapati punca kematian mangsa itu dipercayai akibat kecederaan kelar pada leher, dengan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |