
Baru Bian persoal tiada lagi sekatan ceramah Dr. Zakir Naik
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan, Baru Bian mempersoalkan tindakan kerajaan menarik semula larangan berceramah terhadap pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik tanpa sebarang justifikasi yang kukuh.
Baru dalam kenyataannya turut menyatakan kekecewaan terhadap pendedahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bahawa larangan tersebut tidak lagi dikuatkuasa.
Bahkan katanya, hasil siasatan yang dilakukan pihak berkuasa sebelum ini juga tidak pernah dibangkitkan sedangkan larangan itu perlu demi keselamatan dan keharmonian kaum negara ini.
“Ketika larangan dikenakan, polis menyatakan kebimbangan serius terhadap keselamatan negara dan keharmonian kaum.
“Apa yang telah berlaku terhadap kebimbangan ini?,” katanya.
Baru berkata, larangan itu hanya wajar ditarik balik sekiranya Dr. Zakir Naik membuat permohonan maaf dan berjanji tidak akan mengulangi sebarang kenyataan berunsur provokasi.
Saifuddin baru-baru ini mendedahkan bahawa larangan terhadap Dr. Zakir yang dikenakan pada 2019 bersifat sementara dan tidak lagi berkuat kuasa.
Penceramah kelahiran Mumbai itu sebelum ini dilarang berucap di acara umum di Malaysia selepas membuat kenyataan kontroversi mengenai masyarakat India dan Cina tempatan dalam satu ceramah di Kota Bharu pada 2019.
Semalam, Timbalan Presiden Global Human Rights Federation, Peter John Jaban menggesa kerajaan Sarawak supaya terus menghalang Dr. Zakir daripada memasuki negeri itu bagi mengekalkan keharmonian agama.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |