Berita Semasa

Masjid berusia 411 tahun di Indonesia terima sumbangan karpet baharu dari Malaysia

PEKALONGAN, Indonesia – Kehadiran bulan Ramadan yang bakal tiba amat bermakna bagi penduduk Islam Kelurahan Sapuro Kebulen, apabila Masjid Jami Aulia Pekalongan yang berusia 411 tahun menerima karpet baharu sumbangan Malaysia.

Karpet berona hijau bermotifkan sejadah Raudhah Masjidil Nabawi itu, disumbang oleh Yayasan VFive, selain Teraju Construction Sdn Bhd dan beberapa individu dari Malaysia.

Selain sumbangan karpet, satu program makan tengah hari turut berlangsung selepas solat Jumaat semalam, yang disertai lebih 1,000 jemaah.

Atase Agama, Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Mohd Shamsuri Ghazali berkata, usaha itu membuktikan Kerajaan Malaysia Madani dan Indonesia mempunyai hubungan yang erat.

“Hubungan ini bukan sahaja dari segi keserumpunan bangsa dan budaya, tetapi juga melalui dakwah Islam kedua-dua negara,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami Indonesia), Asro Kamal Rokan.

Menurut Asro, program sedemikian mampu mengukuhkan silaturahim kerana masjid bersejarah yang terletak kira-kira 361 kilometer dari Jakarta itu merupakan pusat aktiviti keagamaan masyarakat di kawasan berkenaan.

Masjid Jami Aulia Pekalongan, yang dibina pada tahun 1614, dipilih sebagai penerima kerana nilai sejarahnya yang tinggi.

Masjid ini dibangunkan oleh empat tokoh agamawan terkemuka iaitu Kiai Maksum, Kiai Sulaiman, Kiai Lukman, dan Nyai Kudung, yang diutus oleh Kesultanan Demak Bintoro.

Keempat-empat tokoh ini dikenali sebagai penyebar ajaran Islam di Jawa Tengah.

“Kami mewakili jemaah Masjid Jami Aulia mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan karpet baharu dan program jamuan makan tengahari,” kata Nazir dan Ketua Umum Masjid Jami Aulia Pekalongan, Ahmad Dhananir Mutasil, 67.

Beliau berkata, rakyat kedua-dua negara perlu mencari persamaan berlandaskan agama dan faktor serumpun kerana hubungan mereka ibarat ahli keluarga.

“Sama-sama kita berdoa agar pemimpin kedua-dua negara terus memperkukuhkan hubungan.

“Begitu juga rakyat Indonesia dan Malaysia, harus terus memelihara kesamaan akar budaya, sejarah, agama, bahkan keturunan yang sama,” katanya.

Ahli kariah Masjid Jami Aulia Pekalongan, Fauzan Sasmati, 88, pula berkata, beliau amat terharu dengan sumbangan yang diberikan.

“Sumbangan ini sudah tentu memberi keselesaan kepada jemaah untuk menunaikan solat sunat Terawih dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button