
MARA tetap utamakan bantu pelajar daripada keluarga miskin
SEREMBAN – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan tetap prihatin dan terus memberi keutamaan membantu pelajar-pelajar dalam kalangan keluarga miskin supaya tiada yang tercicir daripada arus pendidikan perdana.
Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini, berkongsi kisah Pakcik Muhsin Abbas dan isterinya, yang memerlukan bantuan.
Beliau memberitahu, kisah Pakcik Muhsin lebih dahulu dikongsikan kepadanya oleh ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin.
“Tengahari tadi sesampai di Ulu Sepri, Rembau di Negeri Sembilan untuk program Kursus Pengurusan UMNO Bahagian Seremban, saya didatangi Datuk Asna.
“Beliau membawa bersama Pakcik Muhsin dan isterinya yang datang jauh dari Ampangan dengan GRAB semata-mata untuk mohon pertolongan saya perihal anak perempuannya yang cemerlang dan sudahpun mendaftarkan diri di MRSM Tun Abdul Razak Pekan Pahang dalam aliran IGCSE,” kongsi Asyraf Wadi yang mengakui situasi tersebut amat menyentuh hatinya.
Tambahnya, lebih mengharukan melihat semangat kedua ibubapa ini untuk melihat anak mereka cemerlang meneruskan pengajian di MRSM walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
Asyraf Wajdi berkata, Pakcik Muhsin kini separa buta kerana masalah kencing manis kronik, dan baru sahaja terlibat dalam kemalangan.
“Insya Allah saya akan masukkan anak beliau dalam skim BUDI (Bantuan Untuk Pendidikan MARA) bagi pelajar-pelajar miskin yang berada di MRSM,” katanya lagi.
Di bawah skim BUDI ini, pelajar-pelajar MRSM terpilih akan menerima pengecualian bayaran wang caruman dan yuran; bantuan wang saku RM50 sebulan; dan bantuan RM1100 sekali pada setiap tahun.
Asyraf Wajdi kemudian dengan tegas berkata, hanya dengan ilmu sahaja mampu merubah kehidupan keluarga dan masyarakat.
“Terima kasih juga kepada YB Datuk Asna kerana cakna dan melorongkan rakyat susah di kawasannya untuk dibantu saya dan MARA,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |