
Imigresen serbu Kompleks Pasar Besar Meru, 630 PATI ditahan
KLANG – Seramai 630 warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi di Kompleks Pasar Besar Meru, di sini awal pagi tadi.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 628 lelaki dan dua perempuan berumur dalam lingkungan 17 hingga 57 tahun yang terdiri daripada 530 warga Myanmar, Bangladesh (85), Indonesia (sembilan), India (lima) dan Nepal (seorang).
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha berkata, lebih 600 warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan manakala 32 dibebaskan selepas pemeriksaan dijalankan.
Antara kesalahan dikesan mengikut Akta Imigresen 1959/63 ialah tiada dokumen perjalanan sah, melanggar syarat pas dan tinggal melebihi masa.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati ada PATI berniaga dengan memiliki gerai sendiri, selain menyewa daripada pemilik asal di pasar ini.
“Malah, hasil siasatan lanjut mendapati kadar sewa dikenakan pemilik asal terhadap warga asing berkenaan adalah sangat tinggi dan berlipat ganda,” katanya dalam satu sidang akhbar, pagi tadi.
Hadir sama, Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin, dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain.
Tambahnya, operasi bersepadu kali ini membabitkan lebih 150 pegawai dan anggota imigresen, MBDK serta Pasukan Gerakan Am (PGA), selain usaha terbabit akan dijalankan secara berterusan untuk mengesan PATI dan sebarang kegiatan pemerdagangan orang.
“Kesemua ditahan akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |