
‘Saya belajar erti kemanusiaan daripada mereka’ – tahanan Israel
ISLAM adalah agama yang bukan sahaja mengajarkan ibadah kepada Allah, tetapi juga menyentuh setiap aspek kehidupan termasuk dalam interaksi manusia sesama mereka.
Prinsip keadilan, kasih sayang dan belas kasihan menjadi tunjang dalam setiap hubungan sosial walaupun ketika situasi paling sukar seperti peperangan dan penawanan.
Rasulullah SAW mengajar umatnya agar mengutamakan konsep ihsan iaitu melakukan kebaikan tanpa mengharap balasan, malah terhadap musuh sekalipun.
Sejarah membuktikan bahawa Islam mengangkat martabat manusia dan memastikan hak-hak mereka terpelihara tanpa mengira bangsa, agama atau kedudukan.
Inilah keindahan Islam dalam bermuamalat yang telah menarik perhatian ramai, termasuk mereka yang dahulunya tidak memahami agama ini.
Baru-baru ini, seorang tahanan Israel yang baru dibebaskan, Alexander Turbanov membuat satu kenyataan yang mengejutkan dunia apabila meluahkan pengalaman yang mengubah perspektifnya tentang hakikat kemanusiaan.

Selama 498 hari berada dalam tahanan pejuang Palestin, beliau menyaksikan sesuatu yang tidak pernah dibayangkannya sebelum ini.
Walaupun berada di tengah-tengah peperangan yang menyaksikan kezaliman dan penindasan tanpa henti, Turbanov mendapati dirinya diperlakukan dengan penuh hormat dan belas kasihan.
Menurut Turbanov, layanan yang diterimanya berbeza jauh daripada propaganda yang sering dipaparkan oleh media Israel.
“Kebaikan kalian telah terukir dalam hati nurani saya selama-lamanya,” katanya dalam kenyataan yang telah mengejutkan masyarakat Zionis.
“Sepanjang tempoh ini, saya telah belajar makna sebenar sifat kelelakian, kepahlawanan sejati serta penghormatan terhadap nilai-nilai kemanusiaan.”
Beliau turut menyatakan kekagumannya terhadap para pejuang yang menjaganya seperti seorang ayah menjaga anak-anaknya.
“Kalian adalah orang-orang yang benar-benar merdeka meskipun dalam kepungan, sedangkan saya hanyalah seorang tahanan. Namun, kalian adalah pelindung nyawa saya,” ujarnya.
Lebih mengejutkan, Turbanov mengakui bahawa walaupun negaranya sendiri sedang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Palestin, beliau tidak pernah dibiarkan kelaparan atau dihina.
“Kalian memelihara kesihatan, maruah dan kehormatan saya. Saya tidak pernah memahami makna kelelakian yang sebenar sehingga saya melihatnya dalam mata kalian.
“Saya tidak pernah menyedari nilai pengorbanan sehingga saya hidup di tengah-tengah kalian—sehingga saya melihat kalian tersenyum menghadapi maut, melawan musuh yang lengkap bersenjata hanya dengan tubuh yang kosong,” katanya lagi.
Turbanov turut mempersoalkan nilai sebenar keadilan dan belas kasihan dalam peperangan serta membandingkannya dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh para pejuang Palestin.
“Adakah agama kalian benar-benar mengajar untuk melayan tahanan dengan sebegini rupa? Betapa agungnya agama ini yang mengangkat martabat kalian sehingga segala undang-undang hak asasi manusia ciptaan manusia runtuh di hadapannya, sehingga segala protokol peperangan hancur apabila dibandingkan dengannya!”
Pengalaman tersebut memberi satu kesedaran baru kepada Turbanov sehingga beliau membuat satu pengakuan yang mengejutkan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |